Oleh Ku Mohd Lufti
Pemain perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin punya peluang untuk berada di kedudukan 10 pemain terbaik dunia dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada tahun depan.
Namun bagi bekas  pemain badminton negara, Wong Choon Hann, iskandar perlu mempamer aksi yang konsisten di setiap kejohanan yang disertainya andai mahu mencapai sasaran tersebut.
Tambah Choong Hann, pemain kelahiran Johor itu memiliki kriteria yang diperlukan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
“Dia sepatutnya berada di 10 teratas sekarang jika sentiasa konsisten dalam akasinya sekurang-kurangnya layak ke suku akhir atau separuh akhir dalam setiap kejohanan yang disertainya.
Ramai yang melihat mencapai 10 teratas adalah mustahil tetapi saya percaya Iskandar mampu mencapainya jika dia mempunyai seluruh keyakinan terhadap dirinya sendiri,”Kata Wong Choon Hann.
Choong Hann yang mencapai kegemilangan selaku pemain antara penghujung 1990-an sehingga pertengahan 2000, menekankan Iskandar boleh mencapai kegemilangan seperti beliau jika pemain muda negara itu berusaha lebih keras di luar gelanggang tanpa terlalu bergantung kepada jurulatih kebangsaan.
“Dia bagus dan rajin di dalam dan luar gelanggang tetapi saya percaya dia perlu lebih bimbingan untuk menjadi pemain yang lebih baik bagaimanapun, tahun hadapan merupakan satu tahun yang penting buat Iskandar untuk menetapkan sasarannya sendiri dalam kejohanan yang disertai,” katanya lagi.
Iskandar dilabel sebagai pengganti terdekat kepada jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei susulan  permainan yang memberangsangkan sejak kebelakangan ini termasuk layak ke separuh akhir kejohanan Siri Super Terbuka China, dua minggu lepas.