jdt-2

Oleh Muhammad Aiman

Nama ‘kapten bersara’ skuad bolasepak kebangsaan, Safiq Rahim antara yang bakal menjadi tumpuan apabila berlangsungnya Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2016 pada 23 Disember depan.

Safiq bersama-sama kelabnya Johor Darul Takzim (JDT) adalah pemenang terbesar di ABK 2015, di mana dia dinobatkan sebagai pemain tengah terbaik serta Pemain Paling Bernilai (MVP) tatkala JDT pula menggondol lapan daripada 17 anugerah.

Selain dua milik Safiq, anugerah lain dibawa pulang JDT adalah jurulatih terbaik (Mario Gomez), penyerang terbaik (Amri Yahyah), pertahanan terbaik (Aidil Zafuan Abd Razak), penjaga gol terbaik (Farizal Marlias), pemain import terbaik (Luciano Figueroa) serta anugerah khas di atas kejayaan menjulang Piala AFC.

Berupayakah Safiq dan JDT yang melakar kejayaan menjulang Liga Super buat kali ketiga-tiga berturut-turut, serta turut menjulang Piala FA mempertahankan dominasi mereka di ABK 2016?

Ia pastinya bukan mudah apatah lagi Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menetapkan mekanisme pemilihan berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Menurut FMLLP, ABK 2016 akan menyaksikan sebanyak lapan kategori iaitu Pemain Muda Harapan, Pemain Import Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik dan MVP akan melalui proses undian yang dilakukan oleh 24 ketua jurulatih, 24 ketua pasukan dan 24 wakil media yang telah disenaraipendek Jawatankuasa Saringan ABK 2016.

Mereka akan memilih tiga pemain dari 10 pemain yang telah disenaraipendek bagi setiap kategori, setelah melalui proses saringan dilakukan jawatankuasa tersebut yang dibentuk wakil daripada tujuh panel iaitu Media Prima (penyiar rasmi), Persatuan Penulis Sukan Malaysia, Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia, Persatuan Bolasepak Malaysia, Persatuan Pemain Profesional Malaysia, FMLLP dan wakil penyokong.

“10 pemain bagi setiap kategori yang disenaraipendek ini telah disaring daripada sejumlah 349 pemain. Mereka dipilih berdasarkan kriteria ditetapkan jawatankuasa saringan iaitu mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus penampilan daripada keseluruhan jumlah perlawanan domestic (Liga Super/Liga Premier/Piala FA/Piala Malaysia) untuk pasukan yang diwakilinya tahun ini,” menurut kenyataan tersebut.

Undian akan dijalankan sehingga 16 Disember, sebelum pemenang dimuktamadkan.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, ABK tahun ini lebih bersifat inklusif kepada semua pihak yang terlibat, dan bukan bertumpu aksi 90 minit di atas padang.

“Bolasepak bukan sekadar sukan, ia lebih dari itu. Bolasepak ialah gaya hidup, budaya dan kehidupan. Semua itu kita harus mengiktiraf pemenang merangkumi semua aspek ini. Kita mahu mengurangkan jurang di antara bolasepak dengan elemen-elemen ini supaya ia dapat membuka mata lebih banyak pihak di negara kita.”

Sementara itu, ABK 2016 akan menyaksikan 25 anugerah disampaikan, termasuk sembilan anugerah baru iaitu Media Sosial Terbaik, Laman Web Terbaik, Anugerah Komuniti, Anugerah Khas-Piala Presiden, Anugerah Khas-Piala Belia, Anugerah Selamat Datang-MISC-MIFA, Anugerah Selamat Datang-PKNP FC serta dua penghargaan khas.

- Advertisement -