Mohd Al Jufferi Jemari
Jufferi

Oleh Muhammad Aiman

Pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari mempertahankan gelaran juara dunia yang dimenanginya tahun lalu setelah muncul juara Kelas Putra E di Kejohanan Pencak Silat Dunia edisi ke-17, di Bali pagi tadi.

Al Jufferi mengesahkan gelaran dengan penuh bergaya setelah menundukkan pesilat Thailand, Kuibrohem Kubraha 5-0 dalam perlawanan akhir di Gelanggang Olahraga Lila Bhuana.

Kemenangan itu membolehkan Olahragawan Kebangsaan 2015 itu melakar sejarah sebagai pesilat pertama negara meraih hatrik emas di kejohanan itu sejak ianya dianjurkan pada 1982 – sebelum ini dia juga mengenggam kejuaraan bagi kelas sama pada 2012 dan 2015.

Jejak Al Jufferi kemudiannya dituruti pesilat wanita, Siti Rahmah M.Nasir yang turut mempertahankan pingat emas buat kali ketiga, setelah menjuarai Kelas Putri E.

Dia yang juga pemenang pada 2012 dan 2015, menewaskan pesilat Vietnam, Nguyen Thi Yen, lawan yang pernah ditewaskannya di Sukan Sea Singapura tahun lalu.

Dalam pada itu, kem negara turut ceria, setelah seorang lagi pesilat, Razak Ghazali meraih emas Kelas Putra D setelah menewaskan wakil tuan rumah, Iqbal Chandra Pratama 3-2, sekaligus memperbaiki pencapaian memenangi perak di Phuket, tahun lalu.

- Advertisement -