jasazrin-jamaludin
Jasazrin Jamaludin

Oleh Muhammad Aiman

Johor Darul Takzim bukan sahaja kelab paling berjaya di arena bolasepak tempatan ketika ini, malah mereka juga pasukan yang bijak mencari duit melalui urusan ‘jual beli’ pemain. 

Selalunya di Liga Malaysia, apa yang kita biasa dengar, pasukan mendapat pampasan atau nilai tebus kontrak seseorang pemain. 

Namun, JDT, membuktikan mereka sudah terlalu jauh maju ke depan. Mereka melepaskan dua pemain, Jasazrin Jamaludin dan Nazrin Nawi kepada Perak dengan harga RM1.5 juta bukan dengan mengambil kira harga kontrak, tetapi nilai pasaran pemain itu.

“Sebenarnya nilai mereka lebih tinggi dari itu tetapi selepas perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Perak, kita kurangkannya kepada RM1.5 juta. Kita tidak melihat kepada kontrak semata-mata, tetapi sumbangan, kos latihan dan pembangunan pemain, serta lain-lain kriteria,” ujar Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards. 

Kedua-dua pemain itu akan menyertai Perak secara rasmi pada Selasa ini. 
Ini adalah kali pertama Jasazrin, anak jati Johor akan bermain di luar negeri itu sejak bergelar pemain professional pada 2006 manakala Nazrin pula, pemain kelahiran Kelantan pernah beraksi dengan beberapa pasukan seperti KL Plus, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Alistair turut mengesahkan penyerang veteran berusia 36 tahun, Amri Yahyah tidak ditawarkan kontrak baru dan akan beraksi dengan pasukan lain musim depan. 
Pemain itu yang menamatkan dua musim gemilang bersama JDT dengan dua kali menjulang Liga Super serta Piala AFC 2015, selain Piala FA 2016 dan kini sedang hangat dikaitkan dengan Melaka dan juga Kuala Lumpur. 
- Advertisement -