Oleh Muhammad Aiman
Ketua pasukan Kelantan, Badhri Radzi tetap tenang dan tidak tertekan dengan krisis kewangan tenat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang sekaligus mengundang pelbagai spekulasi mengenai masa depan pasukan itu
Pemain tengah berusia 34 tahun itu berpendapat dia tidak perlu sibuk mengeluarkan kenyataan mengenai situasi semasa Kelantan yang dilaporkan berkemungkinan membuat keputusan menarik diri dari Liga Malaysia musim depan seandainya gagal memuktamadkan tajaan dan kedudukan kewangan persatuan dalam tempoh terdekat.
Sebaliknya Badhri, atau dikenali sebagai Piya di kalangan penyokong, percaya KAFA akan dapat mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu itu justeru dia hanya mahu fokus meneruskan latihan seperti biasa bagi memberikan yang terbaik.
“Bab krisis tu saya harap KAFA cari penyelesaian terbaik, biar mereka selesaikan. Mereka masih lagi majikan saya, jadi saya hanya mengikut arahan dan dan saya masih komited untuk menabur bakti bersama Kelantan musim depan,” menurut Piya.
Piya tidak dinafikan antara pemain paling berjaya dalam sejarah bolasepak Kelantan, dia telah bersama pasukan itu sejak dari zaman kegelapan beraksi di Liga FAM 2005 dan menjadi tonggak utama pasukan ketika mereka menang Liga Super 2010 dan 2011, Piala Malaysia 2010 dan melengkapkan treble pada 2012.
Dalam pada itu. barisan exco KAFA dijangka membuat keputusan mengenai penyertaan Kelantan dalam saingan Liga M musim depan pada 15 Disember ini, berikutan masih gagal mendapatkan penaja utama setelah Vida Beauty menarik diri.
Mereka dilaporkan memerlukan sekitar RM15 juta untuk membentuk sebuah skuad mantap bagi memberikan cabaran berkesan dan diberitakan belum ada mana-mana syarikat atau individu yang berminat memberikan sokongan.
Setakat ini, beberapa pemain sudahpun sedia angkat kaki antaranya Wan Zack Haikal, Norhazrul Mustafa, Faizal Abu Bakar, Muslim Ahmad, John McKain, Wander Luiz.