Oleh Muhammad Aiman
Susulan perkembangan yang hambar daripada skuad Selangor tampak mengecewakan pemain pemain yang perlu memberi fokus terhadap persiapan menjelang musim baru Liga Malaysia.
Pemain sayap, R. Gopinathan tampak sudah mengalah untuk kekal dengan pasukan itu dan mahu berhijrah.
Melaka United menjadi sasarannya, namun Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) mengharapkan R Gopi sudah mendapat pelepasan dari Selangor dan menghormati kontraknya.
Timbalan Presiden MUSA Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan pihaknya bersedia untuk menerima kehadiran pemain sayap itu.
“Ada penaja mahu membantu menampung sebahagian gajinya kerana awal-awal lagi kami telah katakan Melaka United tidak mampu berbelanja besar dan perlu mengurus wang dengan berhemah.
“Bagaimanapun, kita beri masa dan biarkan Gopi (Gopinathan) selesaikan dengan pasukannya (Selangor) mengenai kontrak itu,” kata Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
Beliau yang juga pengurus pasukan turut mengesahkan, keputusan tentang urusan perpindahan kapten skuad Harimau Malaysia, Amri Yahya akan dimuktamadkan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idrids Haron hari ini.
“Amri telah menyatakan kesediaannya bersama Melaka United dan kami akan memberi taklimat kepada presiden mengenai hal ini sebelum perjanjian ditandatangani,” katanya lagi.