hockey-jr-wc

Oleh Muhammad Aiman

Dua gol di penghujung perlawanan menyaksikan pasukan hoki remaja negara tewas 1-3 kepada New Zealand dalam aksi klasifikasi tempat ke-9/12 Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Uttar Pradesh di, Lucknow pada Rabu.

Skuad bimbingan Wallace Tan yang hadir ke kejohanan ini sebagai pengganti saat akhir kepada Pakistan, kini akan bermain perlawanan terakhir mereka menentang Austria pada Sabtu (17 Disember) untuk penentuan kedudukan ke-11/12 dalam saingan membabitkan 16 pasukan itu.

Austria tewas 2-4 kepada Afrika Selatan dalam satu lagi perlawanan klasifikasi tempat ke-9/12. Ini akan menjadi pertemuan pertama antara Malaysia dan Austria sejak kejohanan dianjurkan pada 1979, iaitu 37 tahun lalu.

Perlawanan di Stadium Major Dhyan Chand menyaksikan New Zealand berada di depan pada minit ke-13 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Oliver Logan, namun pasukan negara berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-28, menerusi jaringan pakar flik Muhammad Firdaus Omar.

Ketika kedua-dua pasukan berusaha keras mencari tambahan jaringan, Malaysia terpaksa beraksi dengan sembilan pemain setelah ketua pasukan, Najib Hassan dan Amirol Aideed Arshad diperintah meninggalkan padang selama lima minit dan kelebihan itu dimanfaatkan sebaiknya Black Sticks.

Robbie Capizzi menjaringkan gol kedua pada minit ke-56 sebelum Sam Lane melengkapkan kemenangan menerusi jaringan sudut penalti tiga minit kemudian, sekaligus melayakkan New Zealand ke perlawanan penentuan tempat ke-9/10.

Ianya jelas aksi jauh berbeza dari New Zealand yang beraksi buruk tewas semua perlawanan di Kejohanan Remaja Piala Sultan Johor bulan lalu, malah ketika itu mereka tewas kedua-dua perlawanan menentang Malaysia 1-2 (peringkat kumpulan) dan 1-4 (klasifikasi tempat kelima).

“Kita bermain dengan baik dalam tempoh 30 minit pertama dan menyaingi New Zealand dari segenap sudut, tetapi hilang fokus buat seketika di separuh masa kedua, membolehkan mereka jaringkan gol. Ia adalah kesilapan yang tidak sepatutnya kami lakukan,” kata Najib yang jelas kecewa dengan kekalahan ini.

Tambahnya lagi, “Perlawanan menentang New Zealand sentiasa sukar, mereka sebuah pasukan yang kuat. Kami tidak boleh mencari ruang untuk melakukan serangan dan menjaringkan gol. Mereka mempunyai sehingga lapan pemain berkampung di dalam kawasan D apabila kita mahu lakukan serangan.”

- Advertisement -