Senario arena sukan di Malaysia khususnya aspek menetapkan sasaran, di kejohanan bertaraf antarabangsa perlu diberikan perhatian secara serius.
Mahu atau tidak, merujuk kepada sukan hoki ketika ini, peminat sukan ini serta pengurusan seharusnya sedar, Malaysia semakin ‘mengundurkan’ diri berbanding negara negara lain.
Bukan bermaksud untuk memperlekehkan, tetapi inilah realiti yang dapat dilihat ketika ini, skuad remaja negara bergelut di Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2016 di Liucknow, India.
Skuad hoki remaja negara akan berlawan dengan Austria untuk perlawanan penentuan bagi kedudukan ke 11 dan 12.
Malaysia gagal ke suku akhir selepas sekadar menduduki tangga ketiga kumpulan B selepas tewas 2-7 kepada Belanda dalam aksi pembukaan.
Semangat mula kembali apabila Malaysia melakar kemenangan 2-0 ke atas Mesir, namun Belgium meraih kemenangan 3-0 sekaligus menutup sisa perjuangan anak didik Wallace Tan untuk ke suku akhir.
Seterusnya, Malaysia terus gagal meraih kemenangan ke atas New Zealand dalam perlawanan penentuan tempat ke 9 hingga 12.
Sepuluh penampilan skuad remaja di Kejohanan Piala Dunia Remaja sejak 1979, pencapaian ternaik Malaysia adalah menduduki tempat ke 4 sebanyak empat kali (1979, 1982,1985, 2013).
Realistiknya, bagi edisi ke 11, dengan persiapan yang kurang dari seminggu untuk berlatih, mencongak strategi dan lain lain aspek daripada barisan kejurulatihan dan pemain, amat susah untuk memikirkan sebarang sasaran.
Pandangan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Subahan Kamal yang tidak meletakkan sebarang sasaran dan menjadikan penyertaan saat akhir skuad kendalian Wallance Tan sebagai menimba pengalaman dilihat jawapan yang terbaik.
Setidak tidaknya pemain dan jurulatih tidak terlalu memikirkan soal sasaran dan lebih menumpukan untuk memberikan tentangan kepada setiap lawan.
Namun, lontaran cabaran untuk mara ke suku akhir daripada Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Ow Soon Kooi tampak ‘mengganggu’ tumpuan pemain dan barisan jurulatih.
Sudah terang lagi bersuluh, persiapan yang minimum, malah, undian Malaysia bersama sama Belgium, Belanda dan Mesir boleh dilabel sebagai kumpulan maut, adakah sasaran suku akhir relevan?
Memiliki kerjasama, kemahiran dan kecergasan sahaja belum memadai, kerana ini adalah Piala Dunia, semua pasukan yang terpilih pastinya sudah bersedia secara maksima dalam semua aspek sebelum turun bertanding.
Wallace Tan dan pemain pemain tidak perlu di kecam kerana mereka tetap mampu membuktikan sesuatu.
Meskipun pertahanan yang belum matang namun, 4 gol yang dihasilkan dan semangat untuk terus memburu gol sehingga penghujung perlawanan ketika saingan peringkat kumpulan adalah satu permulaan yang positif.
Cukuplah dengan ‘pemikiran positif’, pengurusan perlu berfikiran secara realistik dalam mengkaji dan menetapkan sasaran atau dengan kata lain… lupakan seketika impian menggunung untuk menjulang trofi.
Pengurusan tertinggi perlu fokuskan perancangan jangka panjang terhadap persiapan dan pendedahan yang lebih khusus terhadap permata baru ini andai mahu melihat keputusan yang positif.