aktion-series-swimfest-2016

Oleh Ku Mohd Lufti

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memasang impian untuk menjadi Pulau Langkawi sebagai salah satu destinasi pelancongan bukan sahaja sebagai tarikan tempat tempat menarik, malah menjadikan sukan sebagai salah satu platform untuk memperkenalkan pulau lagenda itu.

Salah satu inisiatif adalah penganjuran kejohanan renang terbuka Swimfest yang berlangsung di Tanjung Rhu.

Swimfest edisi sulung tahun ini membariskan 100 perenang tempatan dan luar negara seperti Perancis, England dan Thailand, melibatkan jarak 2 Kilometer, 4 Kilometer dan 6 Kilometer.

Peserta dilepaskan kira kira jam 8 pagi selepas diberikan taklimat laluan mengikut kategori masing masing.

Peserta yang mengambil bahagian dalam acara 6 kilometer akan berenang dari Pantai Tanjung Rhu mengelilingi pulau berdekatan dan juga merupakan sempadan perairan Malaysia dan Thailand.

Perlumbaan ini melibatkan kerjasama diantara Malaysia dan Thailand dan ia diselit bersama dalam Pesta Pantai Langkawi edisi ke 3.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya Negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid melihat penganjuran Swimfest pertama kali ini akan diperhebatkan lagi dengan penyertaan yang lebih ramai.

“Saya yakin produk produk menerusi acara seperti ini akan diperluaskan lagi dengan penyertaan daripada negara negara ASEAN dan seluruh dunia.

“Meskipun pertama kali dianjurkan, namun ia berjaya menarik minat peserta daripada luar negara dan pada masa akan datang Swimfest ini akan diadakan sebagai salah satu acara tahunan bertaraf antarabangsa.” Kata Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.

Timbalan Gabenor Satun, Thailand yang turut hadir begi menyaksikan Swimfest dan Pesta Pantai Langkawi, Sorradat Suntrachun turut menyokong cadangan untuk menaik taraf acara ini menerusi penyertaan lebih ramai peserta dari luar negara.

“Kami juga ada menghantar wakil untuk menyertai acara ini dan ia wajar diperluaskan lagi menerusi penyertaan bukan sahaja peserta dari Malaysia, Thailand, Singapura dan Perancis.”Kata Sorradat Suntrachun.

Antara peserta yang mengambil bahagian adalah perenang negara, Kevin Yeap Soon Choy yang muncul juara kategori 6 kilometer.

”Acara ini begitu baik dari segi penganjuran, pengurusan daripada pihak penganjur dan lokasi perlumbaan yang baik.

Saya harap acara seperti ini perlu diperbanyakkan lagi di masa masa akan datang kerana bukan sahaja untuk saya sebagai salah satu latihan dan persiapan untuk mengharungi kejohanan antarabangsa, malah Malaysia turut mempunyai ramai perenang tempatan bagi acara seperti ini,” kata Soon Choi.

Paling mencuri tumpuan adalah atlet para, Mohd Sabki Arifin yang turut mengambil bahagian dalam acara 6 kilometer.

“Saya mahu menunjukkan peserta kurang upaya juga boleh bersaing di mana mana kejohanan yang disertai peserta normal.

Masa berenang saya berdepan kesukaran kerana ombak yang kuat dan menjejaskan mental, tetapi saya tetap meneruskan renangan sehingga ke garisan penamat,” kata Mohd Sabki.

Tanjung Rhu Swimfest merupakan salah satu daripada tiga aktiviti sukan lasak yang dirancang oleh LADA dalam mempromosikan Pulau Langkawi sebagai venue penganjuran sukan bertaraf antarabangsa.

Selain Swimfest turut diadakan kelak adalah sukan pendakian Mount Mat Chinchang Skybridge Climb yang dijadual berlangsung pada 18 Februari dan larian denai, Tuba Trail Run pada 8 April tahun depan.

- Advertisement -