Oleh Muhammad Aiman
Pemain skuash nombor dua negara, Delia Arnold meraih kejuaraan berganda di edisi sulung Kejohanan Skuash Terbuka Beregu Malaysia yang menutup tirainya pada Sabtu.
Kejuaraan pertama Delia, 30 tahun, hadir menerusi acara beregu wanita apabila dia berganding cemerlang bersama adiknya Rachel Arnold untuk mengetepikan gandingan muda dari Kedah, S.Sivasangari-Chan Yi Wen pada perlawanan akhir di Pusat Skuash Nasional, Bukit Jalil.
Pasangan yang merupakan pemenang gangsa Terbuka Beregu Dunia itu yang diletakkan sebagai pilihan pertama mencatat kemenangan 11-5, 7-11, 11-8 dalam masa 27 minit ke atas Sivasangari-Yi Wen.
Tempat ketiga beregu wanita dimenangi Andrea Lee-Aifa Azman yang menewaskan Aika Azman-Lai Wen Li 11-8, 11-8.
“Kami berpuas hati dengan prestasi yang telah ditunjukkan walaupun sedikit goyah di set kedua apabila membenarkan mereka bangkit menyamakan kedudukan. Kami mengubah taktik di set penentuan dan ia membuahkan hasil.
“Tahniah juga kepada Sivasangari dan Yi Wen yang memberi tentangan sengit. Ia adalah hadiah krismas terbaik buat kami,” kata Delia.
Gelaran kedua buat Delia kemudiannya hadir menerusi acara beregu campuran – Delia berganding dengan Sanjay Singh Chal untuk mencatat kemenangan 11-10, 5-11, 11-9 ke atas Shafiq Kamal-Sivasangari dalam masa 34 minit.
Tempat ketiga menjadi milik Ivan dan Rachel setelah menundukkan Eain Yow-Andrea 11-10, 8-11, 11-9.
Bagi acara beregu lelaki, nasib bagaimanapun tidak menyebelahi pasangan Nafiizwan Adnan-Ivan Yuen yang kecundang setelah memberi tentangan sengit kepada pilihan utama, Zac Alexander-Rex Hendrick dari Australia.
“Kami tidak pernah berlatih bersama sebelum kejohanan jadi saya fikir kami telah bergandingan baik dan memberikan mereka tentangan yang cukup sengit. Hanya sedikit kesilapan di penghujung permainan menghukum kami,” ujar Nafiizwan.
Tempat ketiga dimenangi Shafiq-Ng Eain Yow yang menewaskan Addeen Idrakie-Sanjay 11-4, 11-7.
Kejohanan ini menawarkan RM3,000 kepada pemenang, RM1,500 kepada naib juara dan RM1,000 kepada pemenang tempat ketiga. Ia juga adalah cabaran terakhir buat pemain negara bagi tahun ini. Â