wee.wern

Oleh Muhammad Aiman

Demi menyelamatkan kariernya, pemain skuash kebangsaan Low Wee Wern akan terbang ke London hari ini (Ahad) untuk menjalani pembedahan di sana.

Pemain berusia 26 tahun itu yang menjalani pembedahan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di lutut kirinya pada tahun lalu, baru-baru ini dikejutkan dengan berita bahawa ‘ligamennya tidak dapat dikesan’ setelah melakukan imbasan MRI.

Ia kemudiannya memaksa Wee Wern yang muncul naib juara Terbuka Kebangsaan bulan lalu untuk membuat keputusan menarik diri pada saat akhir dari beraksi di Kejohanan Skuash Berpasukan Wanita Dunia di Paris.

“Saya cukup lega kerana akhirnya Program Podium dan Institut Sukan Negara (ISN) membuat keputusan ini selepas berlakunya ketidakpastian mengenai situasi saya sebelum ini. Saya hanya dapat tahu akan pergi ke London pada Rabu lalu, apapun ianya bagus kerana persoalan sudah terjawab dan saya berharap ia dapat membantu mengangkat semula karier yang terjejas.

“Saya akan berunding dengan pakar pembedahan, Dr. Andy Williams pada 19 Disember, dan pembedahan dijadualkan pada 21 Disember. Saya akan terlepas meraikan Krismas dan Tahun Baru bersama keluarga, saya bakal berkerusi roda dan bertongkat selama lapan minggu.

“Perancangannya ketika ini adalah saya akan kembali pada 8 Januari untuk menjalani pemulihan bersama ISN. Saya harap semuanya berjalan lancar, saya tidak terlalu risau kerana pakar pembedahan ini adalah cukup terkenal di dalam kendalikan pembedahan lutut.”

Untuk rekod, Dr.Williams pernah mengendalikan pembedahan ke atas beberapa pemain bolasepak terkemuka seperti John Terry, Didier Drogba, Theo Walcottt dan Danny Welbeck.   

- Advertisement -