Oleh Muhammad Aiman
Kebanjiran bintang-bintang muda di dalam skuad berwajah baru Johor Darul Takzim terutamanya di posisi serangan musim depan, memaksa pemain veteran Safee Sali untuk berhijrah demi memastikan kelangsungan kariernya.
Penyerang berusia 33 tahun itu memilih menyarung jersi finalis Piala FA, PKNS Selangor setelah tiga musim mewakili Harimau Selatan dan menjulang tujuh kejuaraan bersama pasukan itu, termasuklah Piala AFC pada 2015.
PKNS kendalian E.Elavarasan menjadi pilihan Safee setelah hajat untuk kembali berbakti bersama Selangor terbantut dek kemelut pengurusan serta masalah kewangan dihadapi juara Piala Malaysia 33 kali itu yang telahpun menyaksikan sebahagian besar pemain âangkat kakiâ. Â
Safee menyertai JDT pada 2013 setelah meninggalkan Arema Malang dan merupakan penyerang tempatan nombor satu pasukan itu ketika itu, malah dilaporkan sebagai pemain tempatan pertama menerima gaji melebihi enam angka namun peranannya semakin kecil dari tahun demi tahun.
Musim terakhirnya bersama JDT, penyerang kebangsaan itu yang beraksi di Piala AFF Suzuki baru-baru ini, membuat 22 penampilan, tetapi hanya empat daripadanya di dalam kesebelasan utama manakala selebihnya sebagai pemain gantian.
Dengan juara Liga Super itu telah membawa masuk pemain-pemain seperti Ahmad Hazwan Bakri (Selangor), Syahrul Azwari (Kelantan) dan Safawi Rasid (T-Team) yang mana kesemuanya adalah pemain barisan depan, memberi gambaran jelas Safee sudah tiada dalam perancangan Gomez bagi musim baru.
Kehadiran Safee sudah tentunya suntikan terbaik buat PKNS yang kembali beraksi di Liga Super musim depan, apatah lagi mereka tidak mempunyai seorang penyerang tempatan yang berprofil tinggi untuk membantu Matias Jadue dan Patrick Ronaldinho memburu jaringan.