Oleh Muhammad Aiman
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Ismail Md Noor membidas sikap beberapa pihak yang menjadikan kemelut kewangan persatuan itu sebagai medium meraih publisiti murahan sejak kebelakangan ini dengan menyatakan hasrat kononnya mahu menjadi penaja utama.
Menurut Ismail, syarikat-syarikat yang menyatakan hasrat mahu menaja KAFA yang berdepan kemungkinan terpaksa menarik diri dari Liga Malaysia musim depan, sekadar mencanangkannya melalui media dan pada hakikatnya tidak pernah langsung berjumpa atau berbincang dengan wakil KAFA.
“Dalam situasi begini, banyak pihak cuba mempromosi diri untuk mendapat publisiti murahan, mereka tidak pernah pun menghubungi KAFA untuk berunding. Mereka seolah-olah mahu menonjolkan diri sebagai penyelamat KAFA, tetapi tidak melihat kesan tindakan mereka itu terhadap KAFA.
“Sekarang, disebabkan kenyataan mereka di media, sudah ada penaja-penaja lain yang ikhlas membantu KAFA sebelum ini mula menjauhkan diri. Kalau mereka benar-benar ikhlas, sepatutnya selepas rundingan dimuktamadkan barulah memberitahu perkara tersebut kepada media,” katanya.
Tambah Ismail lagi, “Malah, belum jumpa, belum bincang, ada di antara syarikat-syarikat terbabit sudah mewar-warkan bakal menjadi penaja utama. Perlu diingat, tidak mudah untuk mendapat status penaja utama apatah lagi Chengal Jati yang menaja RM3 juta sebelum ini tidak berstatus sedemikian.”
Sports247 semalam melaporkan ‘umpan’ yang diletakkan KAFA kena pada sasarannya setelah tiga syarikat iaitu pengeluar produk minuman SuperBest Power, syarikat telekomunikasi RedOne Malaysia dan sebuah lagi syarikat milik Bumiputera, OAR Teguh Sdn Bhd menyatakan minat mahu menjadi penaja The Red Warriors yang berdepan krisis kewangan setelah Vida Beauty ‘melarikan diri’ sekerat jalan.
KAFA dilaporkan memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta untuk mengharungi musim baru namun setakat ini kantung mereka hanya mempunyai RM800,000 justeru keputusan sama ada mahu kekal bersaing atau tidak hanya akan dibuat dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa KAFA 29 Disember ini.
Dalam pada itu, bekas presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa pula berharap sebarang kenyataan yang dikeluarkan ‘bakal’ penaja perlu lebih matang agar tidak menimbulkan gambaran yang salah mengenai situasi sebenar.
“Jangan dengan satu tajaan yang belum muktamad digambarkan sebagai penaja utama dan seolah-olah semua masalah sudah selesai. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah TRW. Inilah yang pernah berlaku dulu, indah khabar dari rupa,” katanya yang juga merupakan Pengerusi RedOne Malaysia di entri terbaru facebooknya.