Oleh Muhammad Aiman
Usaha untuk memberi akses sukan kepada semua diteruskan menerusi penganjuran Karnival Futsal Cilik #1M1H merebut Piala Datuk Razali Ibrahim di Galaxy D’Futsal di Muar, Johor pada 24 September lalu.
Karnival selama sehari ini yang memfokuskan kepada penyertaan kanak-kanak dan remaja sekolah telah dianjurkan dengan kerjasama YAKEB, Skykick Management, Pusat Khidmat Parlimen Muar dan Arina Sports City.
Hampir 500 pelajar sekolah di sekitar Muar, dibahagikan kepada dua kategori B-12 dan B-14 telah menjayakan karnival tersebut yang dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Muar.
Dato’ Razali sememangnya cukup diketahui sebagai pemimpin yang sentiasa mengambil berat akan manfaat mampu diraih masyarakat dari setiap program yang dilaksanakan di kawasan parlimennya.
Beberapa matlamat utama karnival ini diadakan adalah sebagai platform untuk memberi peluang kepada anak-anak disekitar kawasan daerah Muar untuk menyerlahkan bakat dan potensi diri masing-masing, memartabatkansukan futsal di peringkat akar umbi dalam masa sama menggalakkan masyarakat kearah menjalani gaya hidup sihat.
Selain itu,penglibatan ibu bapa yang turut sama hadir bagi memberi sokongan dan menyaksikan kehebatan anak mereka secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi semangat kekeluargaan dan lebih penting menerusi penglibatan anak-anak dari pelbagai kaum, ia dapat membantu membentuk semangat setia kawan seterusnya memupuk semangat perpaduan dari peringkat awal.
Menurut Pengerusi YAKEB, Dato’ Hj Malek Noor, ini adalah sumbangan kecil bekas atlet kepada negara dan menerusi program ini, ianya mampu membantu para pelajar di sekitar daerah Muar membentuk sahsiah, disiplin dan jatidiri yang kukuh melalui sukan.
Manakala Pengurus Besar YAKEB, Zuhairi Abdul Manaf pula berkata hala tuju kempen #1M1H adalah ke arah menyatukan masyarakat menerusi sukan tanpa mengira peringkat umur dan lapisan.
“Seiring dengan keterujaan dan kebangkitan semangat patriotik dikalangan rakyat kebelakangan ini hasil dari perkongsian kemenangan atlet kita baik di Sukan Olimpik mahupun Paralimpik, maka momentum ini perlu diteruskan dan YAKEB menerusi inisiatif yang telah digerakkan melalui program #1M1H seawal tahun 2016 akan terus menyemarakkan dan berkongsikan semangat patriotik ini dengan masyarakat terutamanya dari luar bandar.”Â