Oleh Muhammad Aiman
Dua pesilat negara yang memenangi pingat emas di Kejuaraan Pencak Silat Dunia di di Bali, Indonesia pada 8 Disember lalu, Razak Ghazali dan Siti Rahmah Md Nasir menerima durian runtuh dari kerajaan negeri Terengganu apabila dihadiahkan sebidang tanah dan juga wang tunai RM16,500 di atas kejayaan mereka itu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang menyampaikan sumbangan itu di Wisma Darul Iman pada Rabu berkata kejayaan dua atlet itu adalah satu lagi catatan gemilang anak negeri Terengganu di pentas antarabangsa dan membuka lembaran baru buat arena sukan negeri itu.
Justeru, menurutnya kerajaan negeri akan menyenaraikan sukan silat sebagai satu lagi sukan yang akan diberi tumpuan khusus, bersama-sama hoki, berbasikal dan sukan berkuda.
Mengenai lokasi tanah, Ahmad Razif berkata ia akan dikenalpasti oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat dan berkemungkinan besar ianya adalah di kawasan berhampiran tempat tinggal dua atlet tersebut.
Turut menerima insentif, adalah jurulatih silat Terengganu, Shahrul Fahmi Abu Bakar yang mendapat RM9,000 manakala Mohd Khusairy Azhar yang mara sehingga ke peringkat suku akhir kejohanan sama menerima RM1,500.
Untuk rekod, sebelum ini anak Terengganu seperti Azizulhasni Awang meraih pingat gangsa di temasya sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik di Rio De Janeiro pada Ogos lalu manakala Fatehah Mustafa turut membuat penampilan di temasya sama.
Kemudiannya pasukan hoki Terengganu (THT) pula melakar sejarah mempertahankan trofi Liga Premier dan Piala TNB buat musim ketiga berturut-turut.
Bagi Siti Rahmah yang mencatat sejarah mengenggam hatrik emas setelah turut melakukannya pada 2012 dan 2015, “Saya gembira kerana sukan pencak silat semakin mendapat pengiktirafan dan perhatian yang lebih. Kami berharap akan dapat terus berjuang untuk mengangkat martabat silat ke aras lebih tinggi.”