Oleh Muhammad Aiman
Jika melihat kepada usahanya mahu menyelamatkan bolasepak Kelantan dari berkubur, Tan Sri Annuar Musa sepatutnya mendapat âmileageâ positif dan sewajarnya dapat sedikit sebanyak memulihkan reputasinya yang tercalar hebat sejak melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) pada November lalu.
Dia dilihat bersungguh mahu membantu mencari/mengusahakan dana menerusi syarikatnya Alhamra Group dan juga pengaruhnya sebagai ahli politik untuk membolehkan The Red Warriors terus bernafas dalam Liga Malaysia, sesuatu yang disambut baik penyokong bolasepak negeri itu.
Tetapi yang peliknya ia tidak pula cuba diusahakan ketika masih bergelar presiden hanya kurang dua bulan yang lalu, sehingga menyebabkan gaji pemain dan pegawai tertunggak malah sehingga kini belum diselesaikan.
Ketepikan seketika apa sahaja niat atau motif sebenar Annuar, sekali lagi dinyatakan, usahanya itu menerima reaksi positif penyokong Kelantan di seluruh negara meskipun tetap ada yang melihat ianya sebagai polemik murahan.
Mana tidaknya di kala tiada yang sudi menghulur simpati dan KAFA pula sudah membuat keputusan mahu menarik diri, bekas presiden jugalah yang bersedia tampil menjadi hero.
Namun, segala reaksi positif itu, bertukar menjadi kata-kata nista dan kritikan dalam sekelip mata apabila Annuar dalam entri terbaru facebook peribadinya, menghentam kerajaan negeri Kelantan kerana âmemungkiri janjiâ untuk mengadakan pertemuan dengan KAFA pada hari ini, 1 Januari 2017.
âKasihan Exco KAFA, beriya-iya mahu jumpa orang besar (Menteri Besar Kelantan), tiba-tiba tak jadi. Sudahlah masa semakin suntuk. Nampak sangat tidak serius mahu membantu, Sudahlah sebelum ini pelbagai alasan diberi, nasib lah,â tulisnya.
Sebagai makluman, susulan daripada tindakan KAFA membuat keputusan mahu menarik diri dari Liga Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood menyatakan kesudian kerajaan negeri duduk berbincang dan mengusahakan bantuan yang difikirkan sesuai bagi membolehkan Kelantan terus beraksi.
Pertemuan telah dipersetujui untuk diadakan pada 1 Januari tatkala KAFA pula menetapkan 6 Januari sebagai tarikh akhir membuat keputusan muktamad (menerusi Kongres Luar Biasa 29 Disember lalu) mengenai status penyertaan mereka.
Berdasarkan kenyataan Annuar itu, ada wajarnya dia kecewa dengan pertemuan yang terpaksa dibatalkan, namun rata-rata penyokong bolasepak mengkritik Annuar kerana cuba bermain politik dengan memutarbelitkan situasi sebenar.
Bagi yang tidak tahu, Kelantan ketika ini sedang mengalami bencana alam di mana beberapa kawasan seperti Kuala Krai, Tanah Merah malah Kota Bharu terjejas teruk kerana banjir justeru memaksa kerajaan negeri menangguhkan perjumpaan ke 4 Januari memandangkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob memberi keutamaan melawat mangsa banjir.
Malah, perkara itu (penangguhan) sudahpun dimaklumkan kepada Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Mohd Noor. Jadi tindakan berterusan Annuar membidas kerajaan negeri seolah-olah pertemuan itu sengaja dibatalkan, jelas dilihat serangan bermotifkan politik.
Annuar adalah pemimpin yang disegani dan dihormati, namun adalah memalukan untuk seorang pemimpin sepertinya menjadikan bolasepak sebagai medan menjayakan agenda politik walaupun dia sendiri berulang kali melaungkan bahawa kedua-duanya tidak patut dicampuradukkan. Â Â
Malah pada hakikatnya, kebergantungan sebuah persatuan kepada dana kerajaan negeri itu sendiri sepatutnya tidak lagi menjadi amalan pada ketika bolasepak tempatan sedang menuju penswastaan (biarpun ia mungkin tidak menjadi kenyataan melihat drama politik seperti ini terus berlanjutan).Â
Melihat kepada kesudian Annuar mahu menjadi penyelamat, minggu lalu dia menyatakan, âKalau setakat RM6 atau 7 juta, saya sendiri boleh cari,â manakala semalam (31 Disember) meluahkan hasrat mahu bertemu pasukan dan pengurusan KAFA pada 3 Januari bagi mencari solusi kepada permasalahan.
Dia juga tidak mahu segala usaha yang telah dilakukan menerusi Alhamra bagi menjadikan bolasepak Kelantan sebagai satu fenomena sejak sedekad lalu, akhirnya menjadi sia-sia dan menegaskan penaja perlu segera dicari bagi tujuan itu.Â
Kemudian dalam satu lagi kenyataan facebooknya hari ini, tulisnya, âMasa sudah semakin suntuk terutamanya untuk uruskan import, tanpa import rasanya teruk kita kena belasah. Justeru saya cadang KAFA uruskan perihal pengambilan import dan saya usahakan dana. Jangan terlalu mahal sudahlah, saya perlukan sedikit masa.â
Apa sahaja kapasiti Annuar ketika ini, sama ada anak Kelantan atau ahli politik, kenapa perlu terus mengharapkan bantuan pihak luar pada ketika dana yang boleh âdiusahakannyaâ itu boleh digunakan untuk Kelantan mengesahkan penyertaan.
Ia juga boleh digunakan untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain-pemain terdahulu, sebaliknya Annuar mahu duit itu digunakan untuk menggaji pemain import? Manakala kerajaan negeri dibidas kerana enggan membantu?
Annuar oh Annuar, hentikanlah mempolitikkan bolasepak. Anda telah mencipta reputasi sebagai bapa transformasi bolasepak Kelantan, kenapa perlu menjatuhkan reputasi itu dengan permainan politik ini?
Sumbangan , idea dan tenaga anda diperlukan KAFA, tetapi bukan begini caranya.