Oleh Ku Mohd Lufti
Tahun 2017 telah pun tiba, cabaran dalam mempersiapkan pasukan semakin rancak dan tekanan semakin meninggi dalam melaksanakan misi Kita Juara di temasya Sukan SEA ke 29 yang akan berlangsung pada Ogos nanti.
Halangan tetap ada walau dimana sahaja, namun tidak buat kem bolasepak negara yang masih ‘dibiarkan’ tanpa bantuan yang sepatutnya daripada badan bertanggungjawab.
Skuad bawah 22 tahun hanya mempunyai masa kurang dari lapan bulan untuk melakukan persiapan sebelum temasya Sukan SEA ke 29 bermula Ogos ini.
Sejak mengambil alih tugas selaku pengendali skuad projek Sukan SEA penghujung 2015, tidak banyak perancangan yang mampu dilaksanakan Bernhardt.
Selepas setahun, perancangan Frank Bernhardt untuk mengadakan latihan pusat masih lagi tidak dilayan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Malah, keputusan sepanjang lapan perlawanan persahabatan antarabangsa termasuk aksi menentang kelab dari Jepun tahun lalu tidak menampakkan kesediaan skuad bawah 22 tahun negara untuk menghadapi sukan SEA ke 29.
Keadaan ini secara tidak langsung memberi bayangan awal, Bernhardt bakal menerima nasib yang sama seperti skuad senior negara.
Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaysia awal tahun 2016, namun perlu melakukan persiapan tidak sampai setahun untuk menghadapi Piala AFF.
Hasilnya tidak seperti yang ‘diminta’ FAM, layak ke final, skuad negara hanya mampu menamatkan saingan ditempat ketiga peringkat kumpulan sekaligus gagal ke separuh akhir.
Senario ini mungkin menimpa Frank Bernhardt andai FAM masih berdegil dan lepas tangan sedangkan pingat emas menjadi sasaran.
Tidak banyak komen yang diutarakan Bernhardt, masalah stamina, keserasian dan komunikasi yang seringkali menghantui skuadnya.
Isu melibatkan permintaan Bernhardt hanya akan di putuskan ketika Kongres FAM pada Mac nanti.
Samada malas campur tangan, degil atau apa sahaja yang seumpamanya, kegagalan di Piala AFF tampak belum membuka mata pengurusan FAM.