Oleh Muhammad Aiman

Penyandang juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) sudah hampir melengkapkan persiapan bagi menghadapi musim baru Liga Malaysia apabila jurulatihnya, Mario Gomez mendedahkan mereka kini hanya menanti dua pemain import sahaja lagi untuk mengisi kekosongan di dalam pasukan.  

Skuad Harimau Selatan itu kehilangan tujuh pemain termasuklah dua pengempur sensasi Jorge Pereyra Diaz dan Juan Lucero namun Gomez tetap optimis akan kekuatan skuadnya dengan berpendapat adunan pemain baru dan lama di dalam pasukan boleh membawa kejayaan berterusan kepada kelab itu.

“Begitu banyak impak positif yang dapat dilihat di mana terdapat ramai pemain senior dan pemain muda yang bagus. Tambahan pula, Brian Fereira (pemain import baru) betul-betul mengagumkan saya dengan kesungguhan ditunjukkannya.

“Kami sudah 90% lengkap dan hanya menantikan dua pemain yang akan tiba beberapa hari lagi. Saya cukup teruja untuk melihat pilihan dan kepelbagaian yang boleh dilakukan dalam pasukan. Saya benar-benar teruja serta percaya bahawa kelab ini sedang melangkah ke hadapan dari segi kewangan dan falsafah,” kata Mario.

Selain Diaz dan Lucero, JDT turut melepaskan khidmat Safee Sali, Amri Yahyah, Jasazrin Jamaludin, Nazrin Nawi dan Akram Mahinan tetapi telah membawa masuk pemain-pemain berkredibiliti seperti Ahmad Hazwan Bakri, Nazmi Faiz, Safawi Rasid, Syahrul Azwari dan R.Gopinathan bagi memperkuatkan pasukan.

Mereka akan berlepas ke Bangkok bagi latihan pramusim bermula Sabtu ini dengan tiga perlawanan persahabatan telah diatur iaitu menentang Chonburi FC (10 Januari), Air Force Central (11 Januari) dan Buriram United FC (14 Januari).

Aksi pertama Liga Super antara JDT dan Kedah yang juga perlawanan merebut Piala Sumbangsih akan berlangsung 20 Januari depan, sekaligus menandakan bermulanya tirai saingan musim baru secara rasmi.

JDT juga akan beraksi dalam kelayakan Liga Juara Asia menentang Bangkok United.     

Untuk rekod, JDT muncul juara Liga Super buat kali ketiga berturut-turut musim lalu dengan mengumpul 58 mata, dan lebih menarik mengharungi musim tanpa sebarang kekalahan – pasukan pertama untuk berbuat demikian sejak Liga Super diperkenalkan pada 2004.

Begitupun, saingan kali ini dijangka lebih mencabar buat JDT kerana pasukan seperti Melaka United, Pahang, Perak dan Kedah kesemuanya turut aktif membuat persiapan rapi dengan merekrut nama-nama berprofil tinggi arena bolasepak tempatan.

- Advertisement -