Oleh Muhammad Aiman

Setelah gagal meraih emas individu dalam tiga penampilan di Sukan Sea sebelum ini, penerjun kebangsaan Wendy Ng Yan Yee bertekad mahu menjadikan Kuala Lumpur 2017 sebagai pentas menebus kecewa tersebut.

Wendy tidak dinafikan mempunyai pencapaian cemerlang bagi acara 3m papan anjal berpasangan, di mana dia memenangi empat emas di temasya dwitahunan itu bermula 2009 namun bagi acara individu, dia jelas yang kedua terbaik di belakang Cheong Jun Hoong.

Tiga kali berturut-turut iaitu di Sukan Sea Indonesia (2011), Myanmar (2013) dan Singapura (2015), Wendy terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dan ketiga-tiganya dia tewas kepada Jun Hoong justeru dia tidak mahu sejarah berulang buat kali keempat.

 “Bila melalui rekod kurang baik seumpama itu, sudah tentunya ia mengecewakan. Saya telah memenangi emas secara berpasangan dengan Leong Mun Yee pada 2009 dan 2011, Jun Hoong pada 2013 dan Nur Dhabitah pada 2015. Tetapi sudah tentunya pencapaian secara individu juga penting.

“Saya tekad mahu atasi Jun Hoong kali ini dan tamatkan kemarau emas dalam acara perseorangan. Itu adalah satu daripada sasaran besar saya bagi tahun ini,” kata penerjun olimpik itu yang mengharungi musim 2016 yang cukup memberansangkan.

Untuk rekod, Wendy menjadi atlet Malaysia pertama untuk melangkah ke final 3m papan anjal individu di Sukan Olimpik Rio De Janeiro pada Ogos tahun lalu dan menamatkan saingan di tempat kesepuluh.

Ia kemudiannya disusuli dengan kejayaan merangkul emas buat pertama kali di Grand Prix Dunia yang berlangsung di Kuching pada Oktober di mana dia menewaskan dua penerjun berprofil tinggi iaitu pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2013, Wang Han dan pemenang pingat perak Sukan Asia 2014, Huang Xiaohui – kedua-duanya dari China.

Wendy yang menamatkan tahun 2016 dengan berada di kedudukan nombor sembilan dunia (kedudukan terbaik kariernya), mengakui berat badan yang lebih ideal antara faktor melonjakkan prestasinya.  

“Saya mula menurunkan berat badan selepas layak ke Sukan Olimpik di Siri Dunia Kazan pada 2015. Sepertimana gadis lain, saya juga mahu kelihatan cantik. Pada masa sama ia akan membantu meningkatkan keyakinan saya.

“Dengan berlari tambahan tiga ke lima kilometer sehari selepas menjalani sesi latihan yang padat, saya berjaya turunkan dari 56kg ke 48kg bermula dari November 2015, sehinggalah ke Olimpik. Ia juga membantu saya melakukan terjunan dan kemasukan yang lebih sempurna ke dalam air,” ujar Wendy.

- Advertisement -