Oleh Muhammad Aiman
Penyerang dari Argentina yang dikenali sebagai ‘Apache Assassin’, akan melengkapkan kuota import skuad Johor Darul Takzim bagi mengharungi Liga Malaysia 2017.
Hanya itu gambaran diberikan pengendali pasukan, Mario Gomez yang mendedahkan bahawa pemain itu akan mengisi kekosongan ditinggalkan seorang lagi penyerang dari Argentina, Juan Martin Lucero.
Meskipun profil sebenar ‘Apache Assassin’ dijangka hanya akan dikongsikan bersama para penyokong setelah pemain itu menyertai JDT di kem pra-musim mereka di Thailand dalam masa beberapa hari lagi, Sports247 difahamkan pemain yang dimaksudkan itu adalah Jeronimo Barrales yang pernah beraksi bersama pasukan remaja Boca Juniors.
Pemain berusia 30 tahun itu turut pernah beraksi bersama Atletico Madrid pada musim 2013/2014 dan kelab Turki, Sivasspor pada 2015.
Barrales ‘the Apache Assassin’ akan menjadi pemain Argentina kesepuluh menyertai JDT selepas Pablo Aimar, Leonel Nunez, Luciano Figueroa, Patito Rodriguez, Leandro Velazquez, Jorge Pereyra Diaz, Lucero serta dua pemain terbaru Brian Ferreira dan Gonzalo Cabrera.
Ferreira (penyerang) dan Cabrera (tengah) adalah dua pemain yang dibawa masuk bagi mengisi kekosongan ditinggalkan masing-masing oleh Diaz dan Harris Harun yang bakal dipinjamkan ke kelab Portugal.
Dalam pada itu, Gomez turut mengesahkan bahawa Ferreira yang turut pernah beraksi bersama Independiente akan mengisi kuota pemain import dari Asia, bagi memenuhi syarat dan ketetapan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Mungkin ini hadir sebagai kejutan buat semua, sebenarnya Brian turut memegang passport kerakyatan Iraq. Jadi dia akan mengambil kuota Asia menggantikan Hariss (Harun) dan kita sepatutnya tidak ada masalah untuk mendaftarkannya,” kata Gomez lagi.
JDT telahpun bertolak ke Thailand bagi menghadapi kempen pra-musim mereka, hari ini (7 Januari).