Oleh Ku Mohd Lufti

Jaguh badminton perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei meletakkan sasaran peribadi bagi musim 2017, salah satunya menjuarai Kejuaraan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland Ogos depan sebelum bersara.

Beliau menganggap tahun 2017 merupaka peluang terakhirnya untuk merangkul kejuaraan sulung sekaligus menjadi pemain Malaysia yang pertama menjuarai Kejuaraan Dunia.

“Fokus saya pada tahun 2017 ini adalah untuk memenangi Kejuaraan Dunia sebelum saya menggantung raket buat selamanya.

“Semangat saya tidak pernah luntur dan itu menjadi kunci utama untuk saya mengejar impian tersebut,” kata Chong wei.

Tambahnya lagi, pemain berusia 34 tahun ini hanya akan memilih kejohanan yang akan disertainya kerana perlu memastikan fizikal tidak terlalu dibebani dengan tekanan.

17 tahun menabur keringat di dalam gelanggang, Chong Wei tahu keadaan fizikalnya tidak lagi seperti dahulu.

Selain Kejuaraan Dunia, Chong Wei hanya akan menyertai beberapa kejohanan yang menjadi tumpuan sahaja pada tahun ini antaranya Terbuka England, Piala Sudirman dan Terbuka Malaysia.

Chong Wei tidak menolak akan menyertai Terbuka Jerman sebagai pemanas badan sebelum turun di Kejohanan Seluruh England.

Untuk rekod, Chong Wei sekadar menjadi tiga kali naib juara dalam Kejohanan Dunia iaitu pada tahun 2011 dan 2013, tewas di tangan Lin Dan dan terbaharu pada 2015, beliau tewas kepada Chen Long dari China.

- Advertisement -