Oleh Ku Mohd Lufti
Drama bersiri melibatkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) masih belum berakhir, kali ini seorang lagi ahli politik campur tangan dan meluahkan hasrat untuk menerajui persatuan itu.
Datuk Seri Jamal Yunos yang penuh dengan cerita kontroversi secara terbuka menyatakan keinginan untuk membantu FAS susulan kemelut yang melanda persatuan itu hingga timbul isu penarikan diri daripada Liga Malaysia musim 2017.
Namun alasan yang diberikan ketika sidang media selepas menyerahkan surat yang menyatakan hasratnya untuk menjadi Presiden di pejabat FAS pagi tadi tampak mempunyai agenda peribadi.
Beliau dikatakan terpanggil untuk membantu FAS selepas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dan Amiruddin Shaari mengesahkan untuk tidak lagi bersama persatuan itu kerana kecewa dengan mentaliti ahli ahli FAS.
Ia seakan akan menjadi âmasa yang tepatâ buat Jamal untuk menjadikan isu pengunduran Azmin sebagai alasan kukuh tentang kelemahan pemerintahan di negeri Selangor.
Malah, Jamal berjanji akan memastikan pengurusan yang efisien dan telus dalam FAS andai beliau dipilih sebagai Presiden kelak.
Kelab yang berpengkalan di selatan tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) pula menjadi pilihan atau contoh terbaik Jamal ketika menyatakan cadangannya untuk menaikkan kembali pengurusan dan pasukan Selangor.
Tetapi apabila ditanyakan contoh pencapaian yang telah diraih oleh JDT, Jamal tidak memberikan jawapan dengan tepat, hanya penjelasan secara umum, mendedahkan lagi tahap ilmu pengetahuannya yang masih mentah dalam arena sukan.
Pendiriannya yang tampil di pejabat FAS dengan wajah di cat dengan warna kuning dan merah sedikit sebanyak menimbulkan lagi persoalan, dimana etika ataupun profesionalisma individu yang mahu menawarkan diri untuk menjadi pemimpin?
Tanpa ilmu atau pengetahuan mahupun pengalaman untuk menerajui sesebuah persatuan sukan, sejauh mana FAS akan âselamatâ andai exco memilihnya?
Perlu juga diingatkan, persatuan bolasepak tidak boleh bergantung dana daripada kerajaan negeri semata mata kerana ia tidak akan kekal untuk tempoh yang lama.
Justeru, hasratnya untuk membentuk pengurusan yang telus sahaja belum memadai, hakikatnya, dana tetap menjadi keutamaan pasukan bolasepak agar isu seperti tunggakan gaji samada di peringkat pengurusan mahupun pemain tidak timbul.
Saranan kepada Jamal, persatuan sukan bukan tempat untuk berpolitik atau mencari agenda peribadi, kata kata yang tiada perancangan rapi, teliti dan telus ibarat melepaskan batuk di tangga.