Oleh Muhammad Aiman
Pasukan Hoki Terengganu (THT) tidak mahu terus terbuai dengan kemenangan di Piala Tan Sri P.Alagendra pada Selasa sebaliknya terus mengalihkan fokus mereka bagi menghadapi aksi sulung Liga Hoki Malaysia (MHL) 2017 pada Jumaat ini.
THT akan membuka tirai musim baru MHL dengan turun menentang Kelab Hoki Kuala Lumpur dalam aksi Piala Sumbangsih yang juga perlawanan pertama liga di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan adalah pada 9 Januari lalu yang mana THT melakar kemenangan besar 7-2 dalam aksi separuh akhir Piala Tan Sri P.Alagendra sekaligus memberi bayangan betapa THT berpeluang besar menambah satu lagi koleksi trofi dalam kabinet mereka.
Namun, pemain THT, Jiwa Mohan berkata, “Memang moral di kem THT sangat tinggi dan kita bersedia untuk teruskan kecemerlangan selepas menjulang trofi Tan Sri Alagendra. Tetapi aksi menentang KLHC Jumaat ini adalah perlawanan dan kejohanan yang sama sekali berbeza.
“Ia akan menjadi satu perlawanan yang sengit kerana KLHC juga sebuah pasukan yang sangat bagus jadi kami tidak boleh ambil mudah. Tetapi objektif yang sangat jelas adalah kami mahu bermain untuk menang.”
Mengenai rekod cemerlang THT di gelanggang sendiri yang dijangka memberikan kelebihan kepada mereka, bekas pemain kebangsaan itu berkata, “Jika anda masih ingat, tahun lalu kita tewas perlawanan pertama liga dengan KLHC, juga dalam Piala Sumbangsih dan juga di Batu Buruk. Jadi ini memberi indikasi bahawa kami bukan sebuah pasukan yang kebal walaupun setakat ini cemerlang dalam semua pertandingan dan itu yang perlu kami perbaiki.
“Bagi saya rekod lalu tidak begitu penting, apa yang kami lakukan untuk terus menambahbaik kualiti itu yang penting. Kita bukan berada di sini untuk cipta rekod, tapi kita ada objektif yang telah ditetapkan dan mahu mencapainya. Berapa banyak usaha yang diletakkan, itulah yang akan menentukan pemenang.”
THT yang membariskan pemain-pemain bintang seperti Shahrun Nabil Abdullah, Fitri Shaari, Faizal Shaari, Azlan Misron, Jivan Mohan, Ismail Abu, Tengku Ahmad Tajuddin serta pemain import seperti Jang Jong Hyun, Pablo Javier dan Nicolas Enrique adalah juara berganda MHL buat tiga musim berturut-turut dari 2014 – 2016.
Sementara itu, penolong jurulatih KLHC, Harfizi Baharom berkata pasukannya sudah melupakan kekalahan besar 2-7 kepada THT minggu lalu dan kini sudahpun bersedia memberikan aksi terbaik bagi mengulangi kejutan yang dilakar di Batu Buruk tahun lalu.
“Memang ia satu tamparan hebat, semua orang tahu sejak beberapa tahun kebelakangan THT dan KLHC telah menjadi musuh tradisi, tetapi kita perlu pandang ke depan dan kita sudah bersedia untuk bangkit menjadi yang lebih baik. Kita akan berikan yang terbaik untuk menjulang Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut.”
Menurut Harfizi lagi, buat masa ini hanya seorang pemainnya iaitu Rashid Baharom tersisih kerana kecederaan buku lali dah pihaknya akan menunggu pengesahan doctor sebelum membuat keputusan sama ada dia boleh diturunkan manakala bagi pemain import, hanya seorang iaitu Casey Dawsond belum melapor diri.
Antara pemain-pemain yang memperkuatkan KLHC adalah Haziq Samsul, Nabil Fiqri, Razie Rahim, Azri Hassan, Izad Hakimi Jamaludin dan abangnya Roslan Jamaluddin.
Selain pertemuan THT dan KLHC, turut berlangsung pada Jumaat ini adalah perlawanan antara TNB menentang Thunderbolts, Uitm menentang Maybank dan UNIKL menentang SSTMI.