Oleh Muhammad Aiman
Barisan atlet renang berirama disandarkan harapan menyumbang pingat emas pertama kontijen negara di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, apabila mereka menjadi pasukan pertama turun ke gelanggang di temasya dwitahunan itu Ogos depan.
Sandaran utama, sudah tentunya atlet berpengalaman, Zylane Lee Yhing Hui – perenang berusia 25 tahun itu berkeyakinan tinggi dapat sekali lagi menghadiahkan kilauan emas pertama negara sepertimana dilakukannya dua tahun lalu di Singapura setelah bergandingan cemerlang dengan Katrina Ann Abdul Hadi.
Namun, dengan Katrina sudahpun bersara, Zylane berdepan cabaran lebih besar kali ini apabila dia digandingkan dengan atlet muda berusia 18 tahun, Gan Hua Wei.
Begitupun, Zylane berpendapat ia bukan satu masalah apatah lagi dia dan Hua Wei sudah pun digandingkan bersama sejak hampir setahun dan kedua-duanya semakin menunjukkan keserasian dari hari ke hari.
“Walaupun jarak umur jauh berbeza, ia tidak mengganggu persefahaman antara kami. Namun kami tidak mahu fikirkan tentang pingat emas, kerana ia subjektif dan di luar kawalan. Apa yang boleh kami perbaiki adalah persembahan kami.
“Jika kami boleh perbaiki aspek itu dan dapatkan markah tertinggi, kami boleh menangi emas,” katanya pada sidang media Program Kita Juara di Bukit Jalil petang tadi.
Tambah Zylane lagi, “Sudah tentunya ia satu tekanan besar apabila dijadikan sandaran emas pertama. Tapi adalah penting untuk kami fokus dan ketepikan segala tekanan. Kami akan berlatih di China, dan sertai beberapa kejohanan luar negara.
“Kami mahu gunakan tempoh masa yang ada dan pendedahan itu untuk perbaiki apa yang kurang,” ujar Zylane yang berpendapat Singapura antara yang dijangka akan menjadi pencabar utama.
Untuk rekod, dua tahun lalu Zylane dan Katrina menyumbang emas pertama negara di Sukan Sea Singapura menerusi acara duet teknikal dan rutin bebas.
KL 2017 akan menjadi penampilan ketiga Zylane di Sukan Sea selepas kali pertama beraksi di Palembang pada 2011, yang mana dia memenangi tiga pingat emas.
Bagi Hua Wei, “Memang agak gementar juga, kerana penampilan di Sukan Sea sebelum ini (Singapura) saya hanya meraih dua pingat perak, satu kategori duet dan satu combo berpasukan.
“Jurulatih pula memberi tekanan kepada saya untuk dapatkan pingat emas kali ini, tetapi saya rasa semakin ok dan akan memanfaatkan pengalaman yang ditimba nanti untuk buat yang terbaik.”
Dalam pada itu, jurulatih skuad renang berirama Long Yan berkata pasukan renang berirama akan berlepas ke China untuk menjalani latihan selama sebulan pada Februari nanti selain beberapa lagi program latihan dan pertandingan di Jepun pada April.
Renang berirama di KL 2017 yang akan berlangsung dari 17 – 20 Ogos menawarkan lima pingat emas untuk dimenangi iaitu dua bagi acara solo (bebas dan teknikal), dua bagi acara duet (bebas dan teknikal) serta satu acara berpasukan.