Oleh Muhammad Aiman
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan berani menyenaraikan pemain perseorangan wanita meningkat naik, bagi beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia yang akan berlangsung di Vietnam bulan depan, menggantikan tempat Goh Jin Wei.
Ini adalah kali kedua pemain berusia 20 tahun itu mendapat kepercayaan BAM setelah turut disenaraikan beraksi di Kelayakan Piala Uber tahun lalu bagi menggantikan bekas pemain nombor satu negara, Tee Jing Yi yang ketika itu mengalami kecederaan lutut.
Dan Yen Mei bersedia membuktikan BAM tidak silap di dalam membuat pilihan.
“Ketika di Kelayakan Piala Uber tahun lalu, ianya adalah penampilan pertama saya di kejohanan besar, dan saya telah menang kesemua perlawanan yang saya beraksi. Saya mengutip banyak pengalaman berharga.
“Dengan ketiadaan Jin Wei di Vietnam nanti, saya adalah pemain perseorangan wanita di ranking tertinggi bagi acara berpasukan campuran dan saya berharap dapat memberikan yang terbaik. Acara berpasukan selalunya lebih istimewa, saya akan menjadi lebih bermotivasi dan bertenaga, saya sukakan semangat sepasukan,” kata Yen Mei.
Yen Mei telah menunjukkan peningkatan yang cukup baik sejak diserap ke skuad kebangsaan pada 2013 namun dia mengakui masih banyak yang perlu dilakukan khususnya untuk meningkatkan tahap kecergasannya.
“Saya tewas dalam aksi pusingan pertama di Malaysia Masters (di Sibu, Sarawak) baru-baru ini yang mana menunjukkan saya perlu bekerja lebih keras bagi meningkatkan stamina dan kecergasan,” katanya yang mensasarkan untuk memecah masuk ke kelompok 40 pemain terbaik menjelang hujung tahun ini.
Pencapaian terbaik Yen Mei dalam tempoh tiga tahun terakhir adalah apabila dia menjuarai gelaran senior pertamanya dengan memenangi Cabaran Antarabangsa Poland 2015.
Mungkin tidak ramai yang tahu, Yen Mei sebenarnya menjadikan ratu skuash negara, Dato’ Nicol David sebagai sumber inspirasinya, “Beliau adalah contoh yang paling baik buat semua, beliau membuktikan atlet boleh berjaya dalam lapangan sukan dan juga pelajaran. Determinasinya sangat tinggi.
“Walaupun telah mencapai banyak kejayaan, beliau kekal merendah diri, tidak sombong dan seorang yang mudah didekati. Itu adalah apa yang sangat saya kagumi terhadapnya,” kata Yen Mei yang diberi cuti selama lima hari bersempena Tahun Baru Cina.     Â