Oleh Muhammad Aiman
Afrika Selatan dan Australia menjadi destinasi pilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi mempersiapkan barisan atlet olahraga negara menghadapi temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.
Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berkata seramai 12 atlet pecut negara diketuai pemegang rekod 100m kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan akan dihantar menjalani latihan di Universiti Pretoria di Johannesburg, Afrika Selatan selama dua bulan bermula pertengahan bulan ini.
Dia akan disertai Badrul Hisyam Abdul Manap, Zaidatul Husniah Zulkifli, Rayzam Shah Wan Sofian, Azam Masri, G.Aravinn Thevar, Shereen Samson Vallabouy, Nurul Raiza Asma, Komalam Shally, Siti Fatimah Mohamad, Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa.
“Kita sedang berusaha mendapatkan bantuan jurulatih kebangsaan Afrika Selatan. Besar kemungkinan penolong jurulatih yang membantu Wayde van Niekerk memenangi pingat emas acara 400m di Sukan Olimpik Rio 2016,” kata Karim.
Tambahnya, “Mereka ke luar negara bukan sekadar menjalani latihan, tetapi akan turut menyertai beberapa siri kejohanan, sekurang-kurangnya empat kejohanan sepanjang berada di sana. Ia tidak semestinya membabitkan pertandingan peringkat tinggi sahaja.
“Malah kami turut merancang untuk mereka mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Afrika Selatan, Kita mahu mereka gunakan peluang berlatih dan bertanding ini untuk meningkatkan prestasi dan mengukur sejauh mana tahap mereka,” kata Karim.
Sementara itu dua atlet lompat tinggi – Nauraj Singh Randhawa (gambar utama) dan Lee Hup Wei – pula akan menyertai jurulatih mereka, Alex Stewart di Sydney, Australia. Tiga lagi atlet iaitu Irfan Shamsudin (lempar cakera) serta Iskandar Alwi dan Chuah Yu Tian (lompat bergalah) turut dalam pertimbangan KOM untuk dihantar ke luar negara.
Karim turut menjelaskan bahawa kesemua atlet berkenaan akan menyertai kejohanan di Eropah apabila memasuki fasa ketiga pemilihan Sukan Sea, sebelum bertanding pula di Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung Mei ini.
Untuk rekod, skuad olahraga negara diletakkan harapan tinggi untuk menyerlah di pentas temasya dwitahunan itu kali ini setelah menunjukkan pencapaian cemerlang di kejohanan-kejohanan peringkat remaja khususnya di rantau Asia Tenggara sejak setahun lalu.
Ketika di Singapura dua tahun lalu, olahraga antara yang hambar apabila gagal menepati sasaran dengan hanya menyumbang tiga pingat emas, dua perak dan sembilan gangsa – pencapaian terburuk dalam sejarah penyertaan di Sukan SEA.