Oleh Muhammad Aiman
Pasukan kelab dari Terengganu, T-Team tekad bangkit memadam igauan buruk tewas 0-5 kepada Pahang dalam aksi kedua Liga Super minggu lalu seterusnya mencatat kemenangan pertama apabila berdepan Pulau Pinang di gelanggang sendiri, Sabtu ini.
Pengendali The Titans, Rahmad Dermawan berkata, “Untuk tewas besar seawal perlawanan kedua pastinya bukan permulaan baik bagi mana-mana pasukan. Memang saya akui pemain begitu kecewa dengan kualiti permainan yang telah mereka tunjukkan di Pahang namun saya sudah meminta mereka lupakan kekalahan tempoh hari.
“Kita masih ada 20 perlawanan dan perlu pandang ke depan, lihat di mana yang tidak kena dan perbetulkan. Setiap kekalahan memberikan kita pengajaran dan menjadi tugas saya untuk memulihkan semula keyakinan dan motivasi mereka.
“Mereka berjanji menebus kesilapan ketika menentang Pahang dan memberikan sepenuh komitmen dalam perlawanan seterusnya menentang Pulau Pinang, apa sekalipun kita tidak boleh ambil mudah kerana pasukan lawan juga sama seperti kita, tidak mengharungi permulaan yang baik.”
Untuk rekod, T-Team mengutip satu mata daripada dua perlawanan awal yang telah diharungi – mereka membuka kempen musim baru Liga Super dengan keputusan seri 1-1 menentang Sarawak di laman sendiri sebelum kecundang kepada Pahang gara-gara aksi longlai di separuh masa kedua.
Pulau Pinang bimbingan Ashley Westwood pula bermula hambar apabila tewas kedua-dua perlawanan iaitu kepada Selangor (0-2) dan juga 0-1 kepada Perak minggu lalu malah menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum menjaringkan gol setakat ini.
Dalam pada itu, ketua pasukan T-Team, Hasbullah Awang pula berkata kemenangan ke atas skuad Harimau Kumbang adalah cukup penting bagi mengelakkan pasukan itu tercicir lebih jauh dalam pungutan mata dan juga kedudukan liga.
“Ketika ini tiada pasukan memiliki rekod sempurna, semua sudah cicirkan mata jadi kami perlu guna peluang ini untuk mula mengutip mata. Walaupun masih awal tetapi sudah tentu ianya penting untuk tidak cicirkan mata khususnya di gelanggang sendiri.
“Kami perlu bertanggungjawab di atas kekalahan kepada Pahang dan menebus kesilapan kami dengan bangkit tewaskan Pulau Pinang. Hanya kemenangan yang akan mengubati duka kami dan sebagai kapten saya berharap dapat memainkan peranan dengan lebih baik untuk menjayakan misi tiga mata pertama,” ujarnya.
Ditanya sama ada rakan sepasukannya akan memberikan lebih perhatian kepada pemenang Anugerah Puskas 2016, Faiz Subri, Hasbullah berkata tiada apa untuk dibimbangkan dengan kelibat Faiz yang juga merupakan bekas pemain T-Team.
“Faiz pemain yang bagus, tetapi secara jujur dia bukan pemain tumpuan dalam pasukan Pulau Pinang. Dia menjadi sebutan kerana gol cantik bukan kerana peranannya, jadi kami tidak akan hanya fokus kepada dia seorang. Kami perlu beri perhatian kepada semua pemain khususnya mengunci pergerakan pemain import,” kata Hasbullah.