Oleh Muhammad Aiman
Tugas getir B.Sathianathan untuk memulihkan prestasi Felda United dan membawa pasukan itu kembali merasai nikmat kemenangan bermula dengan perlawanan menentang Perak di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam ini.
Bekas jurulatih kebangsaan itu dilantik sebagai jurulatih baru The Fighters pada Isnin lalu setelah Felda mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan domestik sekaligus terperosok di kedudukan dua tercorot dengan hanya empat mata.
Namun, berdepan Perak yang sedang berada dalam prestasi meyakinkan terutamanya setelah meleburkan rekod tanpa kalah 24 perlawanan milik Johor Darul Takzim hasil kemenangan 2-1 minggu lalu, nyata ianya misi yang cukup sukar buat Sathianathan.
Apatah lagi, Felda juga berkemungkinan besar turun tanpa khidmat dua pemain tonggak iaitu penyerang Norshahrul Idlan Talaha dan juga pemain sayap Wan Zack Haikal Wan Noor yang mengalami kecederaan.
“Kita perlu kembali ke landasan kemenangan namun perlu diakui ia tidak semudah dijangka walaupun bermain di tempat sendiri. Keseimbangan di dalam pasukan sedikit terjejas kerana kecederaan pemain, selain itu pemain juga keletihan kerana perlu bermain setiap tiga hari. Keyakinan mereka terjejas teruk ketika ini,” kata Sathia yang pernah membimbing Kelantan menjulang Liga Super buat kali pertama pada 2010.
Selepas tiga kekalahan iaitu kepada Kelantan, JDT (Piala FA) dan Selangor, Felda kemudiannya beraksi dalam saingan peringkat kumpulan Piala AFC pertengahan minggu baru-baru ini dan penampilan sulung mereka di pentas AFC berakhir dengan kekalahan 1-2 kepada wakil Singapura, Tampines Rovers.
“Seperkara yang positif saya lihat dalam diri pemain adalah mereka tidak cepat mengalah, sepertimana dapat dilihat ketika perlawanan menentang Tampines mereka menunjukkan semangat juang untuk mendapatkan satu jaringan. Saya harap mereka dapat ulangi semangat juang sama dan catat keputusan baik menentang Perak,” katanya lagi.
Untuk rekod, Felda yang dianggap sebagai satu daripada pencabar kejuaraan musim ini pada awalnya dibimbing Azmi Mohamed dan mereka bermula dengan langkah kanan dengan menewaskan PKNS Selangor.
Namun ianya kekal satu-satunya kemenangan mereka setakat ini tatkala Azmi pula memilih untuk melepaskan jawatannya hanya selepas tiga perlawanan gara-gara tidak yakin dengan diri sendiri sekaligus menyaksikan Felda dibimbing sementara oleh penolong jurulatih, Mohamad Nik.
Aksi Felda menentang Perak pastinya dianggap antara yang menjadi tumpuan malam ini, apatah lagi skuad The Bos Gaurus turut dibimbing jurulatih baru Mehmet Durakovic setelah Persatuan Bolasepak Perak membuat keputusan memecat Karl Heinz Weigang.