Oleh Muhammad Aiman
Kedah kekal menerajui carta Liga Super setelah bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Pulau Pinang 3-1 di Stadium Darul Aman pada Sabtu.
Biarpun beraksi dengan 10 pemain setelah Ken Ilso Larsen diperintah keluar padang di separuh masa pertama, skuad Tan Cheng Hoe tetap tampil dengan perwatakan garang untuk menghadiahkan skuad harimau kumbang kekalahan keenam berturut-turut.
Pemenang Anugerah Puskas FIFA, Faiz Subri akhirnya meledak gol pertamanya selepas hampir setahun untuk meletakkan Pulau Pinang mendahului 1-0 pada minit ke-19, namun ia hanya bertahan tiga minit apabila Fitri Omar menyamakan kedudukan buat Kedah.
Syafiq Ahmad menjaringkan gol kedua Lang Merah setelah menerima hantaran ketua pasukan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-74 dan gol ketiga pula disumbangkan Liridon Krasniqi pada minit akhir.
Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut buat Kedah dalam aksi liga dan mereka masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas enam perlawanan, berada di kedudukan teratas dengan 14 mata.
Pasukan tangga kedua, Pahang mengekalkan defisit satu mata di belakang setelah turut cemerlang mencatat kemenangan apabila menundukkan Melaka United juga dengan keputusan 3-1, di gelanggang lawan.
Gol buat skuad bimbingan Dollah Salleh dijaringkan Joseph Kalang Tie pada minit ke-21, Matheus Alves minit ke-42 dan Mohamadou Sumareh pada minit ke-57 manakala gol tunggal Melaka dijaringkan Khuzaimi Piee pada minit akhir.
Selangor melonjak ke tangga ketiga dengan 11 mata setelah menundukkan Kelantan 2-0 di Kota Bharu menerusi dua jaringan Juliano Mineiro seawal minit keempat dan 64 – ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut buat The Red Warriors menyaksikan mereka kini tergelincir ke tangga kesepuluh.
Di Jengka, tugasan pertama B.Sathianathan bersama Felda United menyaksikan bekas pengendali kebangsaan itu menterjemahkan sentuhan magis apabila membimbing barisan pemainnya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Perak 2-2.
Perak yang turut dibimbing jurulatih baru Mehmet Durakovic mendahului menerusi jaringan Hafiz Kamal pada minit ke-13 dan Zaquan Adha (m-52) sebelum Felda bangkit mencuri satu mata menerusi jaringan Norshahrul Idlan Talaha (m-67) dan Lucas Cano (m-69).
Juara bertahan, Johor Darul Takzim melonjak ke tangga kelima setelah menjinakkan T-Team 3-0 di Stadium Larkin, hasil jaringan hatrik di separuh masa pertama oleh Gabriel Guerra (m-10, 30, 38).
Dalam aksi yang berlangsung petang, Sarawak memperbaiki kedudukan dengan melonjak ke tangga kesembilan setelah menundukkan PKNS FC 3-2 di Stadium Shah Alam.
Jaringan buat skuad kendalian David Usop hadir menerusi Mateo Roskam (m-18), Mark Hartmann (m-60) dan Hafiz Abu Bakar (m-63) manakala PKNS membalas menerusi Lucas Espindola (m-55) dan Khairul Ramadhan di minit akhir perlawanan.