Oleh Ku Mohd Lufti
Lengkap separuh perjalanan bagi saingan jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi selepas tamat peringkat keempat dari Manjung ke Tanah Rata, Cameron Highlands semalam.
Laluan yang menawarkan mata tertinggi khususnya bagi pendakian berstatus Hors dengan jarak 174.4 Kilometer menyaksikan penguasaan pasukan Pro Tour tunggal di LTdL, Dimension Data.
Pergerakan untuk memburu gelaran raja bukit Cameron hanya bermula di lima kilometer terakhir meskipun empat pelumba termasuk dua pelumba negara, Loh Sea Keong (Thailand Continental Cycling) dan Nur Amirul Fakhruddin Mazuki (Terengganu Cycling) yang mengetuai peloton sepanjang perlumbaan.
Lima kilometer terakhir, dua pelumba ini berjaya ditangkap peloton dan pelumba pasukan Dimension Data serta Isowhey Sports Swisswellness mula meninggalkan peloton untuk melakukan henjutan menuju ke garisan penamat.
Dua pelumba Dimension Data, Ryan Gibbons bergandingan dengan Debesay Mekseb manakala Cameron Bayly bergandingan dengan Chris Harper.
Ternyata gandingan Dimension Data lebih mantap apabila Mekseb terlebih dahulu melintasi garisan penamat selepas mengharungi laluan mendaki penuh mencabar untuk muncul juara peringkat keempat sekaligus bergelar raja bukit Cameron Highlands dengan catatan masa 4 jam 37 minit 49 saat.
“Ini adalah kejayaan terbesar saya. Kami berusaha sebagai satu pasukan sebaik memasuki zon pendakian (selepas Tapah) dan saya mengucapkan tahniah kepada rakan sepasukan atas tugas yang berjaya.
“Perlumbaan semalam agak sukar kerana pelumba lain memberi saingan sehingga ke penamat terutama di beberapa meter terakhir tetapi mujur saya dapat membuat pecutan,” katanya.
Cameron Bayly akur untuk berpuas hati di tangga kedua manakala rakan sepasukan Mekseb, Ryan Gibbons melengkap podium.
Kemenangan Mekseb bagaimanapun tidak memberi perubahan terhadap kedudukan terkini pelumba dalam empat jersi yang dipertandingkan.
Ryan Gibbons terus mempertahankan jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan manakala Cameron Bayly ditempat kedua ketinggalan 11 saat.
“Saya juga terkejut…Ada enam pelumba di hadapan tetapi saya dapat mengejar kerana mereka tidak memecut. Rakan sepasukan saya melakukan tugas mereka dengan baik bagi memastikan saya mengekalkan jersi kuning,” katanya.
Jersi teale Raja Pecut juga terus kekal milik Scott Sunderland (Isowhey Sports Swisswellness) yang mengumpul 27 mata, sambil diekori rapat dua pelumba yang berkongsi 26 mata, Travis McCabe (United Healthcare) dan Cameron Bayly (Dimension Data).
Begitu juga jersi Raja Bukit yang dijangka bertukar tangan, namun kekal milik John Kronborg Ebsen (Infinite AIS Cycling).
Beliau bagaimanapun bakal berdepan tentangan sengit dengan dua lagi pelumba, Mekseb Debesay yang mengumpul 25 mata serta Cameron Bayly (20 mata) ketika baki empat peringkat perlumbaan sebelum LTdL melabuhkan tirainya.
Jersi Putih juga turut kekal menjadi milik Yevgeniy Gidich daripada pasukan Vino Astana Motors.