Oleh Muhammad Aiman
Atlet lumba jalan kaki, Khairil Harith Harun mengidam untuk membuat kejutan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang akan berlangsung Ogos depan.
Atlet kelahiran Kelantan itu meletakkan sasaran mahu menghadiahkan pingat emas meskipun acara lumba jalan kaki bukanlah antara sandaran emas kontijen negara di temasya dwitahunan itu.
“Ia adalah satu cabaran saya letakkan pada diri sendiri dan saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk buktikan kemampuan saya,” katanya yang mempunyai catatan peribadi terbaik 1 jam 29:38s yang dilakar ketika di Sepanyol tahun lalu.
“Catatan masa itu adalah yang terbaik direkodkan oleh atlet di rantau Asia Tenggara, jadi itu antara sebab saya percaya saya mempunyai peluang melakukan catatan lebih baik seterusnya mencabar emas di KL 2017.  Â
“Sebelum ini Malaysia selalu mengungguli lumba jalan kaki di Sukan Sea, jadi sudah tiba masanya untuk kita kembalikan semula kegemilangan tersebut. Ianya akan menjadi lebih manis apabila dapat dilakukan di bumi sendiri, di hadapan penyokong sendiri,” tambah Khairil yang mendapat bimbingan dari bekas atlet jalan kaki kebangsaan, Teoh Boon Lim.
Khairil turut mengharapkan penampilan kali ketiga di pentas Sukan Sea akan membawa tuah buatnya – dia membuat penampilan sulung di Myanmar 2013 namun dibatalkan penyertaan pada ketika berbaki hanya 200m ke garisan penamat dan di Singapura 2015, dia mengubat kecewa dengan menghadiahkan pingat gangsa.
Sebagai persiapan menghadapi KL 2017, Khairil dijangka mengambil bahagian dalam empat kejohanan besar iaitu Kejohanan Jalan Kaki 20km Asia di Jepun pada 17 Mac, Kejohanan Tertutup Malaysia pada April serta dua kejohanan di Eropah pada Mei. Â