Oleh Ku Mohd Lufti
Pasukan hoki kebangsaan negara mengesahkan slot ke perlawanan akhir Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh selepas membenam Mesir 5-0 dalam perlawanan separuh akhir.
Skuad kendalian Stephen Van Huizen tampak tidak berdepan masalah untuk membuka tirai gol apabila pakar pukulan sudut penalti, RAzie Rahim meletakkan Malaysia di depan di minit ke 15.
Sepuluh minit berselang, kubu Mesir yang menduduki ranking ke 20 dunia bolos kali kedua, kali ini giliran Fitri Saari mencatat nama selaku penjaring hasil penyudah menerusi pukulan sudut penalti.
Dipenghujung suku kedua, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menjadikan kedudukan 3-0 buat skuad kebangsaan hasil jaringan padang.
Tatkala Mesir cuba untuk mengurangkan defisit gol, Malaysia terus menghukum kealpaan pertahanan dengan dua gol pantas dalam tempoh lima minit.
Shahril Saabah bijak mencari ruang untuk menembusi kubu lawan sebelum meledak gol keempat Malaysia di minit ke 40.
Aiman Nik Rosemi melengkapkan kemenangan mutlak Malaysia dengan gol kelima di minit ke 45 sekaligus bakal menentukan gelaran juara atau naib juara dengan China yang menewaskan Oman dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Dua finalis akan layak ke Pusingan Ketiga Liga Hoki Dunia, bagi memburu tempat untuk ke saingan Piala Dunia 2018 yang berlangsung di Bhubaneswar, India.