Oleh Muhammad Aiman
Skuad bolasepak Sukan SEA (B-22) negara yang beraksi dengan lapan pemain mengalami kekalahan besar 0-4 kepada Thailand dalam aksi kedua Piala Dubai B-23 2017 di Emiriah Arab Bersatu pada Khamis.
Turun dengan misi memburu kemenangan pertama setelah seri menentang China dalam aksi pembukaan pada Isnin lalu, skuad bimbingan Frank Bernhardt bagaimanapun menerima tamparan awal apabila kehilangan khidmat penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi yang dilayangkan kad merah pada minit ke-19 gara-gara menjatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti.
Sitichok Kanno menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan untuk Thailand mendahului 1-0. Di sebalik beraksi kurang seorang pemain, Malaysia berjaya mengimbangi permainan di separuh masa pertama sehinggalah mereka kehilangan pula khidmat pemain Johor Darul Takzim, Safawi Rasid pada minit ke-41, juga diperintah keluar padang.
Beraksi dengan sembilan pemain di separuh masa kedua nyata menyentap peluang untuk Malaysia memperaga permainan yang berkualiti dan ini dimanfaatkan sepenuhnya anak buah Worawoot Srimaka.
Mereka menjaringkan gol kedua pada minit ke-60 menerusi sentuhan Sasalak Hariprakhorn sebelum Phitiwat Sookjithumakul menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-65.
Pada minit ke-75, giliran Ahmad Khairil Anuar pula diarah meninggalkan padang menyaksikan Malaysia beraksi dengan hanya lapan pemain dan Thailand memanfaatkan kelebihan itu untuk menambah jaringan keempat menerusi Tanasith Sipala pada minit akhir.
Ini adalah kemenangan kedua buat Thailand setelah menundukkan tuan rumah, UAE 2-1 pada perlawanan pertama menerusi jaringan Sitichok Kanno dan Worachit Kanitsribampen.
Malaysia selepas ini akan berdepan Singapura pada Ahad.