Oleh Muhammad Aiman
Keputusan Tan Sri Annuar Musa untuk menarik diri dari perebutan kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia di Kongres Tahunan badan induk itu Sabtu ini, dipuji rata-rata penggiat arena bolasepak sukan tanah air.
Annuar pada Khamis membuat kejutan besar apabila mengumumkan tidak akan bertanding sekaligus membolehkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menang jawatan Presiden tanpa bertanding.
Antara yang menyifatkan tindakan Annuar itu sebagai tepat adalah Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Profesional Malaysia, Izham Ismail.
Menurutnya, “Ini menunjukkan betapa Tan Sri (Annuar) pemimpin berjiwa besar. Beliau mahu memastikan perjalanan dan kepimpinan FAM dapat diteruskan dan kerja-kerja revolusi dapat dilaksanakan dengan lancar, dengan bersatu hati dan tanpa agenda.”
Izham turut menyatakan harapannya agar kesemua ahli gabungan ataupun perwakilan yang bakal mengundi pada Sabtu ini untuk menentukan siapakah barisan-barisan kepimpinan baru yang akan membentuk gandingan bersama TMJ, agar membuat pilihan yang tepat.
“39 perwakilan akan tentukan, jawapan ada pada mereka. Mana-mana yang terpilih haruslah mampu bersama-sama TMJ berkongsi visinya dan membentuk satu pasukan yang ada kredibiliti. Bila bercakap pasal operasi dan masa depan, ia bukan semata-mata mengenai prestasi pasukan kebangsaan.
“Tetapi ianya menyeluruh, liga, pembangunan akar umbi, futsal, bolasepak wanita, bolasepak pantai. Semuanya . Jadi saya harap kepimpinan baru dapat mengerakkan transformasi yang perlu.”
Sementara itu, Presiden PFAM, Hairuddin Omar pula berkata, “Keterbukaan Tan Sri Annuar yang menjadi wira bagi saya, untuk tidak mengadakan pertandingan. Ini yang kita mahukan wujudnya keharmonian dalam FAM, dalam sukan bolasepak.
“Sebagai pemain bolasepak, saya harap TMJ dapat realisasikan manifesto yang diwar-warkan. Pelbagai manifesto, antaranya menambah baik perlembagaan FAM, itu sangat-sangat dinantikan peminat. Saya percaya penambahbaikkan itu akan bagi kesan positif dan saya tidak sabar untuk melihat siapa yang akan dipilih untuk membantu Presiden.”
Izham dan Hairuddin hadir menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Cabaran Antarabangsa Jeonsa Cup 2017 di Pusat Latihan Jeonsa, Kampung Baru pada Khamis.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata keputusan Annuar itu menjimatkan tenaga dan turut bersetuju bahawa ia dapat membentuk perpaduan serta memupuk keharmonian di kalangan peminat bolasepak.
“Kita tidak mahu perdebatan siapa lebih bagus berlanjutan. Masing-masing bagus, tetapi dengan keputusan ini, tidak perlu lagi penyokong TMJ dan Annuar bertelagah. Annuar berundur kerana merasakan itu keputusan terbaik dan kini masa yang terbaik untuk TMJ membuktikan peranan besarnya untuk merubah landskap bolasepak tanah air,” kata Idris.
“Cuma, TMJ perlu diberi masa melaksanakan perancangannya dan sudah pasti kejayaan tidak mampu diraih sekelip mata. Ia juga memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak,” tambah Idris.
Dengan jawatan presiden sudah diisi, Kongres Tahunan Ke-53 FAM akan menyaksikan pemilihan bagi dua jawatan timbalan presiden yang menjadi rebutan antara Datuk Subahan Kamal (Presiden FAS), Datuk Wira Mahadi Yusoff (Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka) dan Datuk Affandi Hamzah (Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan).
Turut menjadi perebutan adalah empat jawatan naib presiden serta ahli majlis (exco).