Oleh Muhammad Aiman

Permulaan Melaka United dalam saingan Liga Super mungkin kurang meyakinkan, namun itu tidak menutup rasa optimis pengendalinya, Eric Williams betapa pasukan itu masih mampu untuk bangkit memberikan cabaran dan menamatkan saingan di kedudukan yang baik.

Dua kemenangan dan dua keputusan seri dari lapan perlawanan yang telah diharungi meletakkan skuad juara 100Plus Liga Premier 2016 itu di tangga kesepuluh sebelum liga bercuti panjang selama lebih sebulan bagi memberi ruang kepada aksi Piala FA dan kem kebangsaan.

Tempoh rehat panjang itu dimanfaatkan Melaka untuk mengenalpasti kelemahan dengan mengadakan perlawanan persahabatan, bermula dengan menewaskan kelab Singapura, Geylang United 3-2 di tempat lawan pada Isnin.

Justeru, Williams berpendapat kini dia sudah mempunyai barisan pemain yang boleh disandarkan harapan dan mereka bersedia membuktikannya apabila liga kembali bersambung pada 8 April nanti.

“Perlawanan pertama kita selepas cuti panjang adalah menentang JDT, saya sudah mempunyai kesebelasan utama idaman selepas begitu lama berada dalam proses uji cuba. Semuanya kerana kita kehilangan pemain tonggak kerana kecederan.

“Pemain gantian juga boleh disandarkan harapan. Jadi saya berharap mereka boleh terjemahkan prestasi yang diharapkan dan bermain lebih agresif nanti apabila liga bersambung,” ujarnya.

Melaka antara pasukan yang dilabel pencabar kejuaraan pada awal musim setelah berbelanja besar memperkuatkan pasukan namun mereka gagal menepati ekpetasi tersebut setakat ini.

“Saya tidak rasa kita di kedudukan yang teruk, kita baru beraksi lapan perlawanan dan ketinggalan hanya empat mata sahaja dengan pasukan tangga keenam. Jika berjaya menunjukkan peningkatan demi peningkatan, tidak mustahil kita akan boleh menamatkan musim di kedudukan yang mengagumkan,” katanya.

Selepas ini Melaka akan berdepan pula dengan Uitm FC dalam aksi persahabatan kedua pada Khamis ini.

- Advertisement -