Oleh Muhammad Aiman
Skuad wushu negara bermotivasi tinggi mahu menampilkan prestasi terbaik di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan memperbaiki pencapaian memenangi dua pingat emas Singapura, dua tahun lalu.
Meskipun belum menetapkan sebarang sasaran khusus mengenai jumlah pingat mahu diraih kerana dikhuatiri akan memberi tekanan kepada atlet, pengurus pasukan Ho Ro Bin berpendapat skuad wushu negara sudah bersedia mengalas cabaran.
“Memang ada bezanya apabila kita bertanding di dalam atau luar negara, terutama dari segi persiapan mental dan saya turut berkongsikan kepada atlet tentang perkara ini dan bagaimana menanganinya.
“Jika kejohanan di luar negara, kita hanya perlu fikirkan mengenai prestasi namun apabila di tempat sendiri, ada faktor-faktor luar seperti kehadiran penyokong sendiri termasuk ahli keluarga yang datang menyaksikan, ekspetasi mereka, ini boleh pengaruhi mereka,” ujar Ho Ro Bin pada sidang media Program Kita Juara di Majlis Sukan Negara pada Rabu.
Pencapaian terbaik skuad wushu negara di temasya dwitahunan itu adalah ketika menjadi tuan rumah 16 tahun lalu, di Kuala Lumpur 2001 apabila memenangi enam daripada 22 pingat emas yang ditawarkan – dua daripadanya menerusi Ho Ro Bin.
Sementara itu, jurulatih pasukan negara, Lim Yew Fai berkata tidak banyak kejohanan besar dapat disertai sebelum Sukan Sea berlangsung justeru skuad wushu negara giat menjalani menyertai pertandingan ditetapkan Persekutuan Wushu Antarabangsa pada setiap bulan.
Tambahnya lagi, “Kami baru balik dari China pada Februari lalu setelah menjalani latihan selama sebulan dan atlet ini dibahagikan tempat latihan mereka mengikut acara yang mereka sertai. Banyak pendedahan yang mereka peroleh, di samping dapat belajar teknik-teknik baru dan kami akan pergi lagi pada Jun nanti.”
Untuk rekod, di KL 2017 nanti, sebanyak 17 pingat emas akan menjadi rebutan dalam sukan wushu.