Oleh Muhammad Aiman
Walaupun turun dengan status selaku pasukan pilihan, Benjamin Mora tidak berpendapat ianya tiket untuk barisan pemain Johor Darul Takzim bimbingannya untuk terlalu yakin dapat menewaskan Pahang di Stadium Darul Makmur pada malam esok (Sabtu).
Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam aksi suku akhir Piala FA berprofil tinggi dengan sasaran untuk membawa bekalan selesa bagi menghadapi aksi timbal balik dan Mora mahu pemainnya berhati-hati berdepan pasukan tuan rumah pastinya mahu memanfaatkan aksi suku akhir pertama di hadapan penyokong sendiri.
“Ini pertemuan membabitkan pasukan di kelompok tiga teratas Liga Super, kedua-dua pasukan bersemangat tinggi memburu kemenangan jadi sudah tentunya ia menjanjikan satu aksi sukar. Kami tidak boleh memandang rendah kekuatan Pahang walaupun awal bulan tempoh hari ada menewaskan mereka dalam saingan liga.
“Liga dan Piala FA auranya berbeza. Semua pasukan yang layak ke peringkat ini punyai kekuatan seimbang dan semua pasukan mahu kalahkan kami kerana kami adalah juara bertahan. Saya menghormati Pahang, tetapi sudah tentunya kemenangan tetap menjadi sasaran kami.
“Kami perlu bijak menguruskan tekanan dan mengimbangi permainan. Jika Pahang beraksi agresif, kami perlu lebih dari itu malah perlu juga untuk mengekalkan konsistensi. Ia akan menjadi satu perlawanan yang menarik dan mendebarkan,” kata Mora.
Menambah ceria buat Mora, kesemua pemainnya ketika ini bebas dari kecederaan dengan terbaru S.Kunalan dan Afiq Fazail juga sudah menyertai latihan penuh manakala Ahmad Hazwan Bakri dan Fadhli Shas juga cergas sepenuhnya setelah terlibat bersama pasukan kebangsaan baru-baru ini.
Ini bermakna Mora akan dapat menurunkan kesebelasan terbaiknya dengan jentera serangan bakal sekali lagi diketuai Gabriel Guerra yang memikul tanggungjawab mengucar-kacirkan barisan pertahanan tok gajah.Â
Untuk rekod, ini adalah kali keempat dalam tempoh lima musim terakhir JDT dan Pahang dipertemukan dalam saingan Piala FA selepas 2013, 2014 dan 2015. Pada 2016, Pahang kandas di pusingan ketiga setelah tewas kepada Sime Darby manakala JDT muncul juara buat pertama kali dengan menundukkan PKNS FC di final.