Oleh Muhammad Aiman
Pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dicabar agar bangkit dari prestasi goyah dan menoktahkan dominasi beregu Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo di Terbuka Malaysia yang bermula hari ini di Kuching.Â
Cabaran itu dilontarkan dua bekas pemain badminton negara, Razif Ismail dan Yap Kim Hock setelah melihat pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio De Janeiro itu tampil longlai dan tersingkir di peringkat suku akhir di dua kejohanan pertama yang disertai tahun ini – All England dan Terbuka India.Â
Berbeza dengan Marcus Fernaldi dan Kevin Sanjaya, mereka berada di kemuncak prestasi dengan menjuarai kedua-dua kejohanan itu dan terbaru pada bulan lalu mereka mengambil alih kedudukan selaku beregu nombor satu dunia dari V Shem-Wee Kiong.Â
Pasangan Indonesia itu turun selaku pilihan utama di Terbuka Malaysia yang menawarkan hadiah keseluruhan US$600,000 dan terdapat kemungkinan mereka akan berdepan V Shem-Wee Kiong (pilihan kedua) di pentas final pada Ahad andai kedua-dua pasangan berjaya mengelak kejutan.Â
Justeru, Razif berkata V Shem dan Wee Kiong tidak boleh terus dibuai episod kejayaan lalu sebaliknya perlu kembali membentuk persefahaman mantap bagi memburu lebih gemilang dan beliau berharap Terbuka Malaysia akan menjadi medium kebangkitan mereka.Â
“Semua dapat lihat prestasi mereka jatuh mendadak, dan sebaliknya berlaku dengan pasangan Indonesia itu. Tiada siapa boleh mencabar mereka ketika ini, mereka begitu membara dan sukar didekati. Kekuatan mereka adalah pada Kevin yang mana saya lihat boleh melakukan pukulan-pukulan yang mengelirukan.Â
“V Shem dan Wee Kiong perlu menoktahkan penguasaan mereka. Mereka ada sokongan penyokong tempatan, dan ini seharusnya menjadi peluang terbaik mereka untuk lakar pencapaian terbaik dan dapatkan semula momentum yang hilang,” ujar Razif yang memenangi gelaran All England 1982 bersama abangnya Jalani Sidek.Â
Bagi Kim Hock pula, “V Shem dan Wee Kiong lebih berpengalaman, mereka sudah tentunya tahu menghadapi situasi ini dan saya percaya mereka tidak akan mengecewakan. Marcus dan Kevin adalah pasangan Indonesia paling terbaik pernah disaksikan walaupun ada beberapa lagi yang bagus.Â
“Kita sudah beberapa tahun kemarau gelaran dalam acara beregu dan saya berharap kali ini ianya menjadi milik kita. Ianya pasti menarik jika V Shem-Wee Kiong dapat muncul juara dengan menewaskan Marcus-Kevin di final.”
Untuk rekod, Wee Kiong pernah Muncie juara acara beregu lelaki Terbuka Malaysia sekali sebelum ini iaitu pada 2014, ketika itu dia bergandingan dengan Lim Khim Wah.
Undian utama Terbuka Malaysia bermula secara rasminya pada hari ini, dengan Wee Kiong-V Shem berdepan pemenang dari pusingan kelayakan manakala Marcus-Kevin berdepan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di Stadium Perpaduan, Petrajaya.