Oleh Muhammad Aiman
Bekas pengendali Johor Darul Takzim, Mario Gomez menafikan meminta gaji yang lebih tinggi dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seandainya mahu menerima tawaran melatih skuad bolasepak kebangsaan.Â
Gomez berkata apa yang dimahukannya adalah tempoh kontrak yang lebih panjang, bukannya gaji yang lebih tinggi sepertimana didedahkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika pertemuan bersama wakil media.
“Itu dakwaan yang tidak benar, saya tidak bercakap mengenai gaji, sebaliknya saya bertanyakan tentang kontrak. Tawaran asal adalah kontrak selama setahun, saya meminta dipertimbang dua tahun kerana perlukan masa untuk membawa perubahan,” ujar Gomez.Â
Tunku Ismail pada Selasa memberitahu bahawa Gomez berkemungkinan besar tidak akan dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya kerana mahukan gaji yang lebih tinggi dari apa yang diterimanya di JDT sebelum ini.Â
Menurutnya, FAM tidak mempunyai kewangan yang kukuh malah memerlukan tambahan dana RM40 juta bagi menampung operasinya justeru menegaskan sekiranya pengendali dari Argentina itu tetap dengan pendiriannya, maka pengganti lain akan dicari.Â
Untuk rekod, Tunku Ismail menamakan Gomez sebagai ketua jurulatih baru skuad kebangsaan menggantikan Dato’ Ong Kim Swee pada 25 Mac lalu sejurus berakhir Kongres FAM ke-53.Â
Ketika bersama JDT, Gomez mempunyai ‘CV’ yang mantap membawa pasukan itu muncul juara Liga Super dua kali pada 2015 dan 2016, selain memenangi Piala FA 2016 manakala kejayaan terbesar dikecapnya adalah menjulang Piala AFC 2015.
Sebelum ini, FAM dikhabarkan telah turut mengadakan perbincangan dengan ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe untuk dilantik sebagai penolong kepada Gomez namun dengan perkembangan terbaru ini bermakna kemungkinan besar Cheng Hoe akan dilantik sebagai jurulatih baru buat sementara waktu.