Menjelang berlangsungnya Sukan SEA dan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017, Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) terus mempergiatkan aktiviti promosi bagi menyemarakkan semangat Bangkit Bersama menerusi penganjuran Larian Obor KL2017.

Larian akan bermula 14 Mei depan di Johor sebaik tamatnya Larian Baton Bangkit Bersama, akan menjelajah ke seluruh pelosok negara termasuk Wilayah Persekutuan Labuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya meliputi jarak keseluruhan sejauh 665.33km.

Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin berkata Larian Obor KL2017 mempunyai keunikannya tersendiri kerana ia akan bermula atau berakhir di tempat ikonik di setiap negeri dengan pelbagai gimik dan aktiviti dirancang.

YB Brig Jen Khairy menggalakkan orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat termasuklah atlet-atlet, bekas atlet, pemimpin tempatan, pelajar sekolah, pertubuhan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan syarikat swasta untuk turut menjadi sebahagian daripada kemeriahan penganjuran KL 2017.

“Kita buka kepada orang awam kerana kita nak melibatkan komuniti. Larian Baton Bangkit Bersama telah berjaya menarik 5,000 ke 10,000 penduduk di setiap kota yang kita kunjungi, jadi kita mengharapkan bilangan yang lebih besar akan turun dalam menunjukkan sokongan terhadap Larian Obor. Ini adalah satu kenangan yang sangat indah buat mereka.

“Sebagai simbolik penganjuran, kita sasarkan sekurang-kurangnya 29 pelari utama termasuk 9 Orang Kelainan Upaya (OKU) di setiap daerah. Pertukaran obor akan berlaku secara bergilir bagi setiap 200 meter seorang, kalau di luar kawasan tumpuan mungkin jarak lebih jauh. Ini kita tentukan selepas menerima permohonan daripada orang ramai nanti,” katanya.

Tambahnya lagi, “Walaupun tidak semua akan dipilih menjadi pemegang obor, mereka boleh menjadi pelari pengiring, memeriahkan suasana sepanjang laluan Larian Obor dan memberikan kata-kata semangat,” kata YB Brig Jen Khairy.  

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pendaftaran bagi Larian Obor KL2017 di Putrajaya pada Jumaat (7 April 2017), dengan turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Dato’ Sri Zolkples Embong dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Pendaftaran untuk menyertai Larian Obor KL 2017 akan dibuka secara atas talian melalui laman web www.kualalumpur2017.com.my

Antara tempat-tempat ikonik yang telah dikenalpasti adalah dibawa mendaki Gunung Kinabalu di Sabah, Taman Negara Mulu, menyelam di Pulau Jerjak di Pulau Pinang, menaiki paraglider di Bukit Jugra, Selangor serta terbang di udara melalui Wau Bulan Besar di Kelantan.

Mengenai Larian Obor pada bulan puasa, Khairy berkata, “Kita tidak boleh berhenti sebab kita tidak mempunyai banyak masa selepas Hari Raya menuju ke Sukan SEA.

“Pada bulan puasa, cadangan kita lari di waktu petang. Pembawa obor akan berhenti buka puasa, solat, kita hormati sensitiviti bulan puasa.

“Akan ada permintaan untuk larian dibuat waktu malam, kita akan pertimbang jika ada kawasan tertentu yang mempunyai nilai ikonik untuk dibawa pada waktu malam.”

Putrajaya akan menjadi destinasi terakhir Larian Obor pada 12 Ogos dan obor yang sama akan dibawa masuk ke stadium sewaktu upacara pembukaan temasya KL2017 di Stadium Nasional pada 19 Ogos.

- Advertisement -