Oleh Muhammad Aiman
Kedudukan Eric Williams selaku ketua jurulatih Melaka United berada dalam bahaya tatkala dia berdepan kemungkinan disingkirkan seandainya gagal memulihkan prestasi pasukan yang semakin tenat.
Susulan dibelasah 0-7 oleh Johor Darul Takzim pada Ahad lalu, Melaka yang kembali beraksi di Liga Super musim ini terperosok di tangga kesepuluh dengan hanya lapan mata dari sembilan perlawanan.
Mereka hanya menang dua perlawanan iaitu ke atas Kelantan dan Sarawak, selain gagal mencatat kemenangan dalam lima perlawanan terakhir termasuk tersingkir di pusingan ketiga saingan Piala FA.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United, Datuk Yusoff Mahadi berkata amaran telah diberikan kepada pengendali itu agar meraih kemenangan dalam baki dua perlawanan terakhir pusingan pertama menentang Felda United dan PKNS FC.
“Williams memahami apa yang pengurusan mahukan terutama dalam situasi kritikal seperti ini. Jika terus mengalami kekalahan, dia sudah diberitahu kita tiada pilihan selain menggugurkannya dan memberi ruang kepada orang lain.
“Kita tahu dia jurulatih yang bagus tapi apa yang kita mahu sekarang adalah keputusan, itu penilaian kita, bukan melihat kepada rekod dia bersama kelab terdahulu. Mungkin pemain tidak dapat terjemahkan strategi atau taktikal Williams tetapi selepas kekalahan kepada JDT, kita tidak mahu dengar alasan dan mahu dia bertindak segera.”
Untuk rekod, Williams dilantik sebagai pengendali Melaka tiga minggu selepas jurulatih terdahulu Mat Zan Mat Aris membawa pasukan itu merangkul kejuaraan 100Plus Liga Premier – kejuaraan elit pertama mereka dalam tempoh 33 tahun.
Melaka akan berdepan Felda United pada 15 April ini dan PKNS pada 26 April – keputusan pada dua perlawanan itu juga bakal menentukan nasib skuad sang kancil itu sama ada layak atau tidak untuk beraksi di Piala Malaysia.
11 pasukan teratas Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Premier akan layak beraksi di Piala Malaysia yang dijadual bermula selepas Hari Raya Aidilfitri.