Hasrat Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian melakar kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan Liga Super Menteri Pelajaran Malaysia B-14 Tahun tidak kesampaian setelah diikat 1-1 oleh pasukan Akademi Felda, SMK Presint 14 (1) Putrajaya di Stadium MMU pada Sabtu.
Mutiara Impian yang menang tiga perlawanan terdahulu, kesemuanya di gelanggang sendiri, pertama kali bertandang ke gelanggang lawan dan mereka turun dengan keyakinan tinggi untuk mengekalkan momentum kemenangan.
Namun, skuad bimbingan Faqhri Sobhi mendapati Akademi Felda lawan yang cukup liat untuk ditundukkan meskipun berjaya merebut pendahuluan awal pada minit ke-11 menerusi Mohd Aniq Nor Kamal.
Skuad dengan jolokan Black Tigers itu gagal menambah jaringan selepas itu disebabkan ketiadaan sentuhan penyudah sebaliknya membenarkan Akademi Felda menyamakan kedudukan di separuh masa kedua menerusi Hezri Sham Asnorhadi.
Keputusan seri menyaksikan Mutiara Impian mendahului carta liga dengan kelebihan hanya satu mata mengatasi pasukan tangga kedua, Sekolah Sukan Malaysia Pahang ‘A’ B-14 yang tidak turun beraksi dan ia nyata mengecewakan Faqhri.
“Kita memang sasarkan tiga mata pada perlawanan ini, jadi ia satu kerugian. Di peringkat awal semua nampak menjadi, kita punya penguasaan bola bagus, kita boleh pegang bola, boleh serang tapi ketajaman penyudah tiada.
“Ini juga perlawanan pertama di tempat lawan selepas tiga perlawanan berturut-turut di tempat sendiri, jadi pemain tidak dapat sesuaikan diri dengan padang. Pemain sedikit terkejut setelah Felda dapat gol penyamaan. Mereka kemudian bermain defensif dan menyukarkan kita. Ia sepatutnya perlawanan yang kita boleh menang,” kata Faqhri.
Bagi Akademi Felda, ini adalah keputusan seri kedua mereka dalam tiga perlawanan dan mereka masih mengekalkan rekod tanpa kalah sekaligus menggembirakan jurulatihnya, Rozmin Musa.
“Kita menentang sebuah pasukan yang sudah berpengalaman lama bermain di Liga KPM, pasukan SSN yang memang diketahui pembangunan mantap manakala pemain saya baru dikumpulkan tiga bulan. Jadi keputusan seri ini adalah satu kemenangan bagi kita. Bagi saya, biar pemain belajar pada setiap perlawanan, keputusan tidak penting,” katanya.
Aksi lain menyaksikan SSN Perlis, SMK Syed Hassan melonjak ke tangga ketiga setelah menewaskan SSN Terengganu, SMK Bukit Nenas 1-0 menerusi jaringan tunggal Muiz Saad pada minit ke-60.
Juara Piala Sumbangsih, SMK Seberang Temerloh (SSN Pahang) pula mencatat kemenangan pertama mereka dengan menewaskan SSMP ‘A’ B-13 manakala Akademi JDT, SMK Bukit Indah melonjak ke tangga kelima setelah menundukkan SMK Seri Titiwangsa (SSN Kuala Lumpur) 2-0.
Dalam saingan Liga Perdana KPM B-14, SSN Kedah, SMK Tunku Anum T.A.R melonjak ke tangga teratas dengan lapan mata setelah menewaskan SMK Kem Terendak (Akademi ATM) dengan keputusan 1-0, hasil jaringan tunggal Ariff Nor Hafiz Fouzi pada minit ke-60.
SSMP ‘B’ B-13 pula mendaki ke tangga kedua dengan tujuh mata setelah membelasah SSN Sabah, SMK Datuk Peter Monjuntin 4-1 manakala SSN Johor, SMK Tun Hussein Onn membelasah MSS Putrajaya 5-2 untuk melonjak ke tangga ketiga selepas turut mengumpul tujuh mata.
Pertembungan di Kota Bharu di antara SMK Putera (SSN Kelantan) dan SMK Seri Kota (SSN Melaka) pula berkesudahan seri tanpa jaringan.
KEPUTUSAN (LIGA SUPER KPM B-14)
SMK Presint 14 (1) Putrajaya (Akademi Felda) 1
SMK Mutiara Impian (SSN P.Pinang) 1
SMK Syed Hassan (SSN Perlis) 1
SMK Bukit Nenas (SSN Terengganu) 0
SMK Seberang Temerloh (SSN Pahang) 2
SSMP ‘A’ B-13 1
SMK Seri Titiwangsa (SSN K.Lumpur) 0
SMK Bukit Indah (Akademi JDT) 2
KEPUTUSAN (LIGA PERDANA KPM B-14)
SMK Putera (SSN Kelantan) 0
SMK Seri Kota (SSN Melaka) 0
SMK Tunku Anum T.A.R (SSN Kedah) 1
SMK Kem Terendak (Akademi ATM) 0
SMK Tun Hussein Onn (SSN Johor) 5
MSS Putrajaya 2
SMK Datuk Peter Mojuntin (SSN Sabah) 1
SSMP ‘B’ B-13 4