Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian terlepas peluang menjarakkan kedudukan di tangga teratas Liga Super Piala Menteri Pelajaran Malaysia (KPM B-14) setelah sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang SSN Negeri Sembilan, SMK Za’ba di Kuala Pilah minggu ini.
Ini adalah kali kedua berturut-turut pasukan bimbingan Faqhri Subhi terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri di gelanggang lawan setelah turut tercicir dua mata berharga ketika seri menentang Akademi Felda, SMK Presint 14 (1) Putrajaya pada minggu sebelumnya.
Satu mata yang diraih menyaksikan SMK Mutiara Impian mengumpul 11 mata, mendahului carta liga dengan kelebihan hanya satu mata mengatasi SSN Perlis, SMK Syed Hassan yang melonjak ke tangga kedua hasil kemenangan 2-0 ke atas Akademi Felda di gelanggang sendiri.
Terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama, SMK Syed Hassan memecah kebuntuan pada minit ke-56 menerusi Sabri Abdullah sebelum Irmar Danial Muharis menjaringkan gol kedua pada penghujung perlawanan.
Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) ‘A’ B-13 pula kekal di tangga keempat setelah melakar kemenangan ketiga dengan menewaskan SSN Kuala Lumpur, SMK Seri Titiwangsa 3-1 di gelanggang sendiri di Gambang.
Gol buat tuan rumah dijaringkan oleh Danial Edzuan (m-4), Nabil Qayyum (m-19) dan Khairil Md Zain (m-59) manakala gol saguhati buat Seri Titiwangsa dijaringkan pada minit ke-38 oleh Izzat Irfan Md Hisham.
Satu lagi aksi Liga Super menyaksikan SSN Sarawak, SMK Tabuan Jaya mencatat kemenangan pertama mereka musim ini dengan menewaskan SSN Pahang, SMK Seberang Temerloh dengan jaringan 2-1 di gelanggang lawan.
Sementara itu, aksi Liga Perdana KPM B-14 juga tidak kurang hebatnya apabila SSN Kedah, SMK Tunku Anum T.A.R meneruskan momentum kemenangan dengan mencatat kemenangan ketiga berturut-turut, kali ini menewaskan SSMP ‘B’ B-13 dengan jaringan 3-1.
Ariff Noor Hafiz menjaringkan dua gol pada minit ke-35 dan 46 manakala Hasnawi Muhamad menambah satu lagi jaringan pada minit ke-52 sekaligus membolehkan SMK Tunku Anum mengungguli carta liga dengan 11 mata.
SSN Johor, SMK Tun Hussein Onn terlepas peluang untuk menghimpit rapat kedudukan Tunku Anum apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang SSN Perak, SMK Gunung Rapat tatkala SSN Kelantan, SMK Putera pula melonjak ke tangga kedua hasil kemenangan 2-0 ke atas SSN Sabah, SMK Datuk Peter Mojuntin.
Begitupun paling mencuri tumpuan adalah SSN Selangor, SMK Seksyen 11 yang berpesta gol mencatat kemenangan 8-0 ke atas MSS Putrajaya di Stadium Universiti Multimedia, Cyberjaya.
Dalam perlawanan dikuasai sepenuhnya SSN Selangor itu, Ammar Syahmie Muhd Isa menjaringkan hatrik pada minit ke-7, 30 dan 48 manakala Aidil Zafri Faisal menyumbangkan dua gol pada minit ke-17 dan 21.
Tiga lagi gol buat pasukan bimbingan Samsul Ibrahim itu dijaringkan oleh Adim Muzahhir (m-21), Syazwan Shahrudin (m-48) dan ketua pasukan, Fitri Nabil pada minit akhir sekaligus membolehkan SSN Selangor melonjak ke tangga keempat dengan tujuh mata.
KEPUTUSAN LIGA SUPER KPM B-14
SMK Mutiara Impian (SSN P. Pinang) 0
SMK Za’ba (SSN N.Sembilan) 0
SSMP ‘A’ B-13 3
SMK Seri Titiwangsa (SSN K.Lumpur) 1
SMK Syed Hassan (SSN Perlis) 2
SMK Presint 14 (1) (Akademi Felda) 0
SMK Seberang Temerloh (SSN Pahang) 1
SMK Tabuan Jaya (SSN Sarawak) 2
KEPUTUSAN LIGA PERDANA KPM B-14
SMK Tun Hussein Onn (SSN Johor) 0
SMK Gunung Rapat (SSN Perak) 0
SMK Putera (SSN Kelantan) 2
SMK Datuk Peter Mojuntin (SSN Sabah) 1
SMK Tunku Anum T.A.R (SSN Kedah) 3
SSMP ‘B’ B-13 1
MSS Putrajaya 0
SMK Seksyen 11 (SSN Selangor) 8