Oleh Muhammad Aiman
Tatkala tinggal 24 jam sahaja lagi untuk berlangsungnya aksi final Piala FA menentang Kedah malam esok, pengendali Pahang, Dollah Salleh mengakui berdepan kesukaran untuk menyenaraikan kesebelasan terbaik.
Menurut Dollah, kesemua barisan pemain skuad Tok Gajah berada pada tahap prestasi terbaik dan mereka juga bekerja keras untuk meyakinkannya sepanjang sesi latihan bagi merebut tempat di dalam pasukan, justeru membuatkannya berada dalam dilema.
âMasalah saya adalah semua pemain saya bagus, bebas kecederaan dan bebas penggantungan. Prestasi mereka meningkat naik, saya mempunyai pilihan yang terlalu banyak sehinggakan saya pening, saya tidak mahu ada pemain terasa hati atau rasa âtertinggalâ tetapi saya perlu membuat keputusan.
âIni sebenarnya saya perkembangan positif buat pasukan, situasi ini walaupun membuatkan saya serba salah tetapi ini bermakna saya akan dapat menurunkan skuad terkuat untuk memberi cabaran sengit kepada Kedah seterusnya menjulang Piala FA,â kata Dollah.
Menambah sengat barisan depan Pahang, mereka bukan sahaja mempunyai kelibat Mahamadou Sumareh dan Matheu Alves tetapi turut akan diperkuatkan pemain import baru, Yamil Romero yang sah dapat diturunkan dalam aksi menentang Kedah.
Dollah berkata Romero yang dibawa masuk bagi menggantikan Chinedu Bright telahpun diturunkan dalam aksi persahabatan menentang Shahzan Muda pada Khamis dan menyerlah dengan menjaringkan dua gol justeru berpendapat dia akan menjadi senjata baru buat pasukan itu memburu jaringan.
Selain trio import terbabit, Pahang turut mempunyai himpunan pemain tempatan terbaik dalam negara antaranya Ashaari Samsudin, Joseph Kalang Tie, Nurridzuan Abu Bakar, Christie Jayaseelan, Wan Zaharulnizam Zakaria serta Ahmad Syamim Yahya.
Kali terakhir Pahang bergelar juara adalah pada 2014 setelah menewaskan Felda United dalam perlawanan akhir dan tahun ini mereka memburu gelaran juara buat kali ketiga.
Dalam pada itu, pemain sayap Pahang, Nurridzuan yang akan beraksi di final pertamanya sekiranya diturunkan berkata, âIni adalah impian saya sejak bergelar pemain profesional, dan saya berharap diberi peluang oleh jurulatih. Saya janji akan berikan yang terbaik kerana bukan mudah untuk mendapat peluang seperti ini malah ini kali pertama dalam karier saya.
âSaya yakin dengan kekuatan pasukan ini dan kredibiliti jurulatih, Pahang mempunyai peluang yang cerah muncul juara dan saya mahu menjadi sebahagian daripada sejarah ini.â
Manakala penjaga gol, Wan Azraie Wan Teh yang akan turut beraksi dalam final pertama karier pula berpendapat kekuatan Kedah adalah pada kelibat pemain perancang, Liridon Krasniqi serta ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar justeru mengingatkan benteng pertahanannya untuk mengunci pergerakan dua pemain itu.