Jaringan tunggal pemain tengah, Amirulhadi Zainal membantu Johor Darul Takzim (JDT) mencatat kemenangan 1-0 ke atas PKNS FC dalam aksi ke-13 Liga Super pada Rabu sekaligus mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas dengan 30 mata.
Dalam perlawanan di Stadium Shah Alam itu, JDT menurunkan penyerang baru mereka Mohamed Ghaddar bergandingan dengan Gonzalo Cabrera dan Azrif Nasrulhaq di barisan depan tatkala penjaring prolifik, Gabriel Guerra beraksi di posisi tengah.
PKNS pula tanpa kelibat Safee Sali, mempertaruhkan Patrick Ronaldinho untuk memburu jaringan namun kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan sehinggalah Amirulhadi yang baru sahaja beberapa jam sebelum perlawanan kembali disenaraikan dalam skuad kebangsaan oleh Nelo Vingada meledak jaringan pada minit ke-78.
Ia adalah kemenangan kesembilan buat skuad Harimau Selatan musim ini dan tiga mata yang diraih menyaksikan mereka meninggalkan pencabar terdekat, Pahang dan Kedah dengan jurang enam mata.
Naib juara Piala FA, Pahang kekal di tangga kedua setelah dua jaringan lewat Matheus Alves pada minit ke-75 dan 82 membantu mereka mencatat kemenangan 2-0 ke atas Selangor di Stadium Selayang.
Manakala di Stadium Darul Aman, juara Piala FA, Kedah meneruskan momentum kemenangan dengan menewaskan T-Team 3-0 hasil jaringan hatrik Ken Ilso Larsen pada minit ke-12, 16 dan 45 untuk kekal di tangga ketiga.
Pasukan tangga keempat, Perak sekadar mencatat keputusan tanpa jaringan menentang Sarawak di Stadium Ipoh tatkala Felda United bimbingan B.Sathianathan mencatat kemenangan 3-0 ke atas Melaka United menerusi jaringan Lucas Cano (m-29), Zahrahan Krangar (m-33) dan Gaston Cerolino (m-85).
Rekod Kelantan di Kota Bharu pula terus goyah apabila sekadar mampu mencatat keputusan seri 2-2 menentang pasukan tangga tercorot, Pulau Pinang – ini menjadikan Kelantan setakat ini hanya menang satu daripada tujuh perlawanan di gelanggang sendiri.
Skuad bimbingan Zahasmi Ismail itu hampir mengutip tiga mata setelah bangkit dari ketinggalan 0-1 dan mendahului 2-1 pada satu ketika menerusi jaringan S.Thinagaran (m-26) dan Daniel Asyraff (m-55) namun Sanna Nyasi menyelamatkan satu mata buat Pulau Pinang apabila menjaringkan gol penyamaan seminit sebelum tamat permainan.
Sebelum itu, Nyasi turut menjaringkan gol pendahuluan buat Harimau Kumbang pada minit ke-24 namun yang lebih menarik, pemain itu baru-baru ini telah menjalani pemilihan dengan Kelantan namun gagal memikat panel kejurulatihan The Red Warriors yang membuat keputusan mengekalkan Alessandro Celin. – OLEH MUHAMMAD AIMAN