Hasrat Malaysia meneruskan langkahan dalam saingan Piala Sudirman tidak kesampaian setelah tunduk 1-3 di tangan Jepun dalam aksi suku akhir berlangsung di Pusat Rekreasi Gold Coast, Australia pada Jumaat.
Ini menyaksikan Malaysia bukan sahaja gagal untuk membalas dendam kekalahan kepada lawan sama dalam aksi peringkat kumpulan beberapa hari lalu tetapi turut gagal memperbaiki pencapaian kandas di peringkat suku akhir dua tahun lalu di China.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong sekali lagi gagal menepati ekspetasi diletakkan dan bermula dengan goyah apabila kecundang 17-21, 21-16, 11-21 kepada Takeshi Kamura-Keigo Sonoda.
Keadaan menjadi lebih tertekan buat Malaysia apabila perseorangan wanita, Soniia Cheah (gambar utama) yang mengambil alih tempat Goh Jin Wei gagal menghadiahkan mata penyamaan sebaliknya tunduk mudah kepada Nozomi Okuhara 11-21, 9-21.
Jaguh badminton negara, Dato’ Lee Chong Wei menghidupkan sedikit sisa harapan buat Malaysia apabila mencatat kemenangan 21-13, 21-15 ke atas Kenta Nishimoto namun jelas ianya tidak memadai untuk menyuntik moral buat pasangan beregu wanita Vivian Hoo-Woon Khe Wei mendapatkan mata penyamaan.
Vivian-Khe Wei tunduk kepada jaguh Olimpik Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi dengan keputusan 7-21, 14-21.