Jaguh lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin nyata sukar disekat tatkala dia terus mencuri tumpuan dengan memperbaharui rekod kebangsaan buat kali ketiga dalam tempoh seminggu.
Terbaru, Irfan melakukan lemparan sejauh 62.55m di Kejohanan Olahraga Austrian Top Meeting di Linz, Austria sekaligus memadam catatan 61.56m yang direkodkannya hanya dua hari lalu di Turnov, Republik Czech.
Untuk rekod, pada Isnin lalu, Irfan muncul atlet Asia Tenggara pertama untuk melakukan lemparan melepasi angka 60m dengan lemparan sejauh 61.10m di Kejohanan Olahraga Hallesche Werfertage di Halle, Jerman.
Ia membolehkan Irfan mengatasi rekod terdahulu 59.29m yang dicatatnya ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Slovak Clubs di Samorin, Slovakia pada tahun lalu dalam masa sama mengatasi rekod Sukan Sea dipegang Wong Tuck Yim (59.50m) dari Singapura yang dilakukan di Sukan Sea Brunei.
Dua hari kemudian iaitu pada Rabu lalu, Irfan memecahkan rekod itu dengan lemparan 61.56m di Kejohanan Ludvik Danek Memorial, Turnov.
Kejayaan memperbaharui rekod buat kali ketiga tahun ini menyaksikan Irfan kini sudahpun memperbaharui rekod kebangsaan sebanyak sembilan kali lantas membolehkannya digelar ‘gergasi’ lempar cakera Asia Tenggara.
Institut Sukan Negara dalam satu kemaskini sekali lagi menekankan bahawa melihat kepada catatan semasa Irfan dia berpotensi berada dalam kelompok lima atlet terbaik Asia dan mengukuhkan peluangnya menyumbang pingat di temasya Sukan Asia 2018.
Buat masa ini, Irfan sedang mempersiapkan diri bagi menghadapi temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di mana dia membawa misi mengekalkan pingat emas yang dimenangi dua kali berturut-turut di Myanmar 2013 dan Singapura 2015. – OLEH MUHAMMAD AIMAN