Prestasi menjunam teruk pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong sepanjang tahun ini bukan sahaja menghadirkan resah di kalangan peminat sukan badminton tanah air tetapi turut mendapat perhatian jaguh badminton tanah air, Dato’ Lee Chong Wei.
Chong Wei mengakui bimbang melihat persembahan buruk pasangan itu – terbaru tampil hambar di kejohanan Piala Sudirman – justeru mengharapkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu segera bangkit memandangkan tinggal dua bulan lebih sahaja lagi untuk berlangsungnya Kejohanan Dunia di Scotland.
“Bukan ini yang kita mahukan dari mereka, setelah apa yang mereka tunjukkan tahun lalu saya percaya ramai yang meletakkan harapan tinggi. Mereka memberikan harapan kepada semua tetapi kini sedang melalui saat sukar. Mereka perlu ketepikan tanggapan mereka sudah cukup bagus.
“Saya mahu melihat mereka kembali menunjukkan permainan bertenaga sepertimana sebelum ini dan berharap mereka akan dapat melakukannya sebelum kita ke Glasgow nanti, sesuatu perlu dilakukan saya berharap semua pihak akan membantu mereka. Kita perlu bersatu,” ujar Chong Wei.
Kritikan terhadap prestasi V Shem-Wee Kiong kembali kedengaran setelah mereka tewas dua kali kepada beregu Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dalam aksi peringkat kumpulan serta suku akhir Piala Sudirman yang sekaligus dikatakan sebagai punca utama Malaysia gagal meneruskan kemaraan di kejohanan itu.
Untuk rekod, V Shem-Wee Kiong menamatkan 2016 dengan cukup gah setelah menjuarai Pusingan Akhir SuperSeries Dunia di Dubai selain berada di kedudukan nombor satu dunia pada Disember.
Namun lima bulan berlalu selepas itu segalanya sudah berubah di mana mereka gagal menyerlah di semua kejohanan yang disertai iaitu All England (Mac – suku akhir), Terbuka India (April – suku akhir), Terbuka Malaysia (April – pusingan pertama), Terbuka Singapura (April – suku akhir) dan Kejohanan Badminton Asia (April – pusingan kedua).
Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Seri Norza Zakaria berkata badan induk itu perlu mengambil langkah pro-aktif bagi melahirkan lebih ramai pemain pelapis berkualiti yag boleh mencabar kedudukan pemain berstatus elit di dalam pasukan kebangsaan.
“Memang kita terkesan dengan kekalahan dialami V Shem dan Wee Kiong, sudah tiba masanya kita tampung kebergantungan kepada pemain senior. Saya telah memberitahu Morten Frost (Pengarah Teknikal) dan barisan jurulatih supaya meletakkan pemain pelapis seiring dengan pemain senior supaya persaingan sihat terus wujud di dalam pasukan,” ujar Norza. – OLEH MUHAMMAD AIMAN