Atlet lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli tidak bersetuju dengan pendapat segelintir pihak yang mengatakan bahawa prestasinya semakin merudum selepas melangsungkan perkahwinan pada November tahun lalu.
Sebaliknya, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio berkata kehadiran isteri, Zafirah Md Nasir menjadi motivasi tambahan dan pembakar semangat untuknya memburu lebih banyak kejayaan dan bersedia membuktikannya di Kejohanan Olahraga Dunia IPC, London pada Julai depan.
Ziyad yang juga pemegang rekod dunia dengan catatan 16.84 meter yakin dia mampu memperbaharui rekod itu di London dan mensasarkan lontaran sekitar 17m bagi mencapai hasrat itu seterusnya memastikan Jalur Gemilang berkibar megah.
“Saya akan ke Perancis untuk sertai Grand Prix IPC (26 Mei – 4 Jun), di sana sasaran saya adalah kekalkan jarak lontaran dan dapatkan momentum sebelum beraksi di Kejohanan Dunia. InshaAllah dengan usaha dan doa semua peminat saya akan dapat lakukannya.
“Dengan rekod lontaran sepanjang tahun ini, serta latihan intensif di Leipzig, Jerman selama tiga bulan saya optimis dapat memuncak tepat pada waktunya dan pecahkan rekod dunia sekali lagi walaupun saya tahu saingan pastinya sengit,” katanya kepada Sports247.
Menurut Ziyad lagi, buat masa ini dia masih belum pasti sama ada akan beraksi di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 sebaik berakhir Kejohanan Dunia namun dia tidak mahu terlalu memikirkannya kerana tumpuannya tetap mahu mempertahankan pingat emas di Sukan Para Asean ke-9 yang berlangsung September.
Kejohanan Olahraga Dunia IPC akan berlangsung dari 14 – 23 Julai di Stadium Olimpik, London manakala Sukan Para Asean KL 2017 pula dari 17 – 23 September.
Untuk rekod, ketika di Sukan Para Asean Singapura 2015, Ziyad memenangi pingat emas dengan lontaran sejauh 15.51m mengatasi seorang lagi atlet para negara, Aliff Mohamad Awi serta atlet Brunei, Khairin Azhar Rosli. – OLEH MUHAMMAD AIMAN