Cabaran ratu skuash negara, Dato’ Nicol David di Siri Akhir Kejohanan Persatuan Skuash Profesional (PSA) Dunia yang sedang berlangsung di Dubai berakhir di peringkat kumpulan setelah tewas buat kali kedua berturut-turut, kali ini kepada Nour El Sherbini dari Mesir.
Nicol yang wajib menang bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir setelah kecundang kepada Laura Massaro (England) pada perlawanan pertama Selasa lalu mendapati Sherbini yang merupakan pilihan kedua kejohanan terlalu unggul untuk disaingi.
Pemain nombor enam dunia itu yang merupakan juara dua kali kecundang 6-11, 9-11 – kekalahan kelapan berturut-turutnya kepada Sherbini – dan gagal ke separuh akhir siri akhir dunia buat kali pertama dalam karier gemilangnya.
Nicol yang masih kempunan gelaran Jelajah Dunia sulung bagi musim ini akan melengkapkan aksi Kumpulan B dengan menentang Sarah Jane Perry dari England pada Khamis.
Bagi Sherbini pula, dia bagaimanapun perlu menang ke atas Massaro dalam aksi terakhir Kumpulan B sambil mengharapkan bantuan Nicol untuk menewaskan Sarah Jane jika mahu menjamin tempat di kelompok empat terbaik.
Sementara itu, dalam aksi terdahulu, juara bertahan Massaro menjadi pemain pertama melangkah ke separuh akhir setelah mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan Sarah Jane 11-6, 14-12 dalam perlawanan penuh dramatik.
“Saya tidak mahu berhenti di sini, saya akan terus memburu kemenangan dalam perlawanan terakhir menentang Sherbini walaupun saya sudah layak. Ianya mengujakan untuk layak ke separuh akhir, tetapi perjuangan masih belum berakhir,” kata Massaro.
Dalam aksi Kumpulan A pula, peluang masih terbuka bagi kesemua empat pemain iaitu pilihan pertama Camille Serme dari Perancis, Raneem El Welily , Nouran Gohar (Mesir) dan Alison Waters (England) untuk merebut tempat di separuh akhir. – OLEH MUHAMMAD AIMAN